Pemuda Amanah WP gesa buka masjid sepenuhnya tanpa kuota

Dengan peningkatan kadar vaksinasi dan pembukaan sektor hiburan, kerajaan sewajarnya mempertimbangkan pembukaan semula masjid sepenuhnya bagi memudahkan jemaah menunaikan solat.
Dengan peningkatan kadar vaksinasi dan pembukaan sektor hiburan, kerajaan sewajarnya mempertimbangkan pembukaan semula masjid sepenuhnya bagi memudahkan jemaah menunaikan solat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Wilayah Persekutuan menggesa kerajaan agar membuka semula masjid sepenuhnya tanpa menetapkan sebarang kuota jemaah yang hadir.

Ketuanya, Asmaaliff Abdul Adam berkata, dengan peningkatan kadar vaksinasi dan pembukaan sektor hiburan, kerajaan sewajarnya mempertimbangkan pembukaan semula masjid sepenuhnya bagi memudahkan jemaah menunaikan solat.

Menurutnya, jemaah adalah komponen penting dalam sesebuah masjid, malah mereka sewajarnya dianggap sebagai tetamu dan bukannya dilayan dengan penghinaan.

"Melihat tular baru-baru ini berkenaan isu tetamu kehormat di masjid, sudah tiba masanya perkara ini dilihat secara serius.

"Akhir zaman ini, manusia bukan sahaja tidak mampu mengendalikan isu dengan akhlak, bahkan lemah untuk menyelesaikannya dengan akal," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kenyataan Asmaaliff itu merujuk kepada satu hantaran klip video yang tular di laman sosial sejak Jumaat lalu memaparkan ketidakpuasan hati sebilangan jemaah terhadap pengurusan Masjid Putra, Putrajaya yang dilihat memberi layanan berbeza kepada mereka sewaktu ingin menunaikan solat Jumaat.

Menerusi perkongsian video berdurasi 51 saat itu, pengurusan masjid itu dilihat menutup pintu pagar dan hanya membenarkan jemaah tertentu memasuki ruang rumah ibadah terbabit.

Bagaimanapun, imam masjid berkenaan menerusi satu hantaran klip video di laman sosial pada malam Selasa telah membuat permohonan maaf secara terbuka susulan daripada penularan isu tersebut.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Imam Besar Masjid Putra mohon maaf.

Masjid Putra jelas dakwaan layanan dua darjat

Mengulas lanjut, Asmaalif berkata, rakyat masih boleh bertolak ansur sekiranya sistem kasta diamalkan dalam sektor lain, namun ia tidak dapat diterima apabila mula meresap dalam urusan berkaitan agama.

"Islam secara jelas meletakkan kelebihan berada di saf pertama tanpa mengira pangkat dan kedudukan seseorang.

"Sikap bongkak pengurusan masjid dalam mengendalikan isu ini membuktikan betapa parahnya 'double standard' yang berakar dalam pentadbiran kerajaan," katanya.