Bayern kecewa gagal menang jaringan lebih besar

Muller (tengah) percaya Bayern sepatutnya menang dengan jaringan lebih besar.
Muller (tengah) percaya Bayern sepatutnya menang dengan jaringan lebih besar.
A
A
A

BAYERN Munich kecewa tidak dapat membelasah Barcelona dengan jaringan lebih besar dalam aksi Liga Juara-Juara di Stadium Camp Nou pada awal pagi Rabu.

Penyerang Bayern, Thomas Muller berkata, pasukan gergasi Jerman itu yang menang 3-0 ke atas kelab Catalan tersebut seharusnya dapat menjaringkan lebih banyak gol dalam aksi yang menyaksikan Bayern menguasai keseluruhan perlawanan.

"Kami tidak memberikan banyak ruang di bahagian pertahanan dan di bahagian serangan kami sepatutnya menjaringkan satu atau dua gol lagi.

"Bermain di sini sangat menyeronokan dan pemain sangat menikmatinya. Jika anda menang 3-0 di sini, ia memberikan isyarat yang sangat penting dalam kejohanan ini," katanya.

Dalam perlawanan itu, Muller terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-34 sebelum peledak sensasi Bayern, Robert Lewandowski memastikan kemenangan pasukan itu dengan dua gol pada minit ke-56 dan 85.

Barcelona gagal menyinar sepanjang perlawanan dengan skuad kendalian Ronald Koeman itu tidak dapat melancarkan sebarang percubaan tepat.

Muller turut mencipta rekod tersendiri dalam perlawanan itu dengan sentiasa menjaringkan gol ketika menentang Barcelona - catatan satu gol dalam setiap 73 minit dengan menyempurnakan tujuh peluang daripada 16 percubaan.

"Ia kerana Barcelona adalah pasukan yang cenderung bermain secara terbuka dan sebagai penyerang, saya mempunyai lebih banyak ruang ketika berdepan pertahanan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi anda boleh mengatakan bahawa saya memang gemar menjaringkan gol ke atas Barcelona," katanya.