Lompat parti: Usah perdagang mandat rakyat

Abdul Aziz Bari ketika Wacana Sinar Harian bertajuk 'Parlimen Cabaran Kerjasama Dwi-Partisan' yang bersiaran secara maya pada malam Selasa.
Abdul Aziz Bari ketika Wacana Sinar Harian bertajuk 'Parlimen Cabaran Kerjasama Dwi-Partisan' yang bersiaran secara maya pada malam Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin di negara ini diingatkan agar tidak memperdagangkan mandat rakyat dengan melompat parti, sekali gus menunjukkan tiada pegangan, ideologi, komitmen dan kesetiaan.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, perbuatan melompat parti sebenarnya yang menjadi gejala dan punca kecelaruan dan ketidaktentuan negara.

Disebabkan itu, katanya, memorandum persefahaman (MoU) atau Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan pembangkang amat penting khususnya membabitkan pembaharuan Parlimen.

“Sebenarnya apa yang kita telah capai dalam MoU ini bukan perkara baharu. Ini komitmen daripada Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan (PH). Ia sudah lama.

“Sebagai contoh, (akta) lompat parti mungkin tidak sempurna atau tidak 100 peratus sama dan telah dilakukan di Pulau Pinang. Soal mendaulat dan memartabatkan pejabat pembangkang juga sudah dilakukan di Selangor daripada penggal pertama tahun 2008 lagi.

“Jadi, ini satu komitmen sebenarnya kalau orang mempertikaikan apakah PH ini nak bermain politik, mencari peluang dan sebagainya, saya fikir itu itu silap besar,” katanya dalam Wacana Sinar Harian secara maya pada malam Selasa.

Wacana bertajuk 'Parlimen: Cabaran Kerjasama Dwi-Partisan' itu dikendalikan moderator, Ismail Adnan dan turut menampilkan dua lagi panelis iaitu penganalisis politik, Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dan Dr Syed Agil Alsagoff.

Abdul Aziz berkata, persoalan mengenai lompat parti amat penting kerana ia menjejaskan parti, rakyat dan sistem pentadbiran negara.

Artikel Berkaitan:

“Sebab daripada segi komitmen, perspektif, persepsi dan dasar kita sangat berbeza. Jadi saya nak menegaskan bahawa MoU ini merupakan satu komitmen untuk memastikan pentadbiran negara tidak terencat.

“Pembangkang akan tetap memainkan peranan sebagai pembangkang sebagai satu elemen penting dalam sistem Westminster kita. Jadi, soal pembangkang itu penting, kita tahu, kita faham dan kita tidak akan abaikan peranan kita,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai MoU antara kerajaan dan pembangkang, Abdul Aziz berkata, ia adalah perkara baharu.

Beliau percaya, ia dapat dijayakan untuk meneruskan sistem politik tanpa menyebabkan rakyat berasa letih.

"Ia seterusnya mendorong untuk mengurangkan suhu politik negara kepada sesuatu yang lebih terarah dan tidak melumpuhkan pentadbiran negara," katanya.