Pemantauan SOP di Langkawi dibahagikan kepada tiga zon

Saiful Anwar
Saiful Anwar
A
A
A

LANGKAWI - Pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sempena pembukaan semula Langkawi mulai Khamis tertumpu kepada tiga zon yang menjadi lokasi tumpuan pelancong.

Pengerusi Task Force Gelembung Pelancongan Langkawi, Saiful Anwar Azmi berkata, zon satu melibatkan sekitar kawasan Pekan Kuah hingga ke Ayer Hangat, manakala zon dua meliputi kawasan dari Ayer Hangat hingga ke Pantai Kok dan zon tiga dari Pantai Kok hingga ke Pantai Tengah.

Beliau berkata, dalam setiap zon terbabit terdapat lokasi pelancongan yang sering menjadi tumpuan orang ramai setiap kali berkunjung ke Langkawi.

"Kita bahagikan mengikut zon supaya mudah untuk pemantauan SOP dibuat oleh pasukan yang telah dipertanggungjawabkan.

"Contohnya, polis akan bergerak membuat pemantauan di lokasi pelancongan mengikut zon ini dan mereka akan pastikan semua SOP Covid-19 dan SOP gelembung pelancongan dipatuhi," katanya ketika ditemui di sini pada Rabu.

Saiful Anwar yang juga Pegawai Daerah Langkawi berkata, sebanyak enam jawatankuasa kecil diwujudkan di bawah Task Force Gelembung Pelancongan Langkawi yang berperanan memastikan projek rintis gelembung pelancongan itu berjalan lancar.

Jeti kuah antara lokasi tumpuan pelancong yang menjadi lokasi masuk ke Pulau Langkawi dari Terminal Kuala Perlis dan Kuala Kedah mulai Khamis.
Jeti kuah antara lokasi tumpuan pelancong yang menjadi lokasi masuk ke Pulau Langkawi dari Terminal Kuala Perlis dan Kuala Kedah mulai Khamis.

"Jawatankuasa kecil tersebut adalah Jawatankuasa Pandemik, Jawatankuasa Penguatkuasaan dan Keselamatan, Jawatankuasa Kawalan Pintu Masuk, Jawatankuasa Pelancongan, Jawatankuasa Pengindahan Bandar dan Jawatankuasa Komuniti.

Artikel Berkaitan:

"Pelbagai agensi terlibat sama dalam jawatankuasa tersebut termasuk agensi kerajaan, badan berkanun dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

" Saya berharap Langkawi akan menjadi pusat pelancongan yang terbaik bukan sahaja di peringkat negara tetapi juga di dunia," ujarnya.

Pada Ahad, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, setiap agensi di Langkawi sama ada kerajaan, swasta, badan berkanun serta persatuan yang diberi peranan menjayakan projek rintis gelembung pelancongan Langkawi perlu melaporkan aktiviti mereka kepada task force tersebut.

Beliau berkata, semua yang terlibat itu akan diberi peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam projek rintis gelembung pelancongan tersebut.