Dipecat selepas minta PM ditahan kes bunuh Presiden Haiti

Perdana Menteri Haiti, Ariel Henry - Foto AFP
Perdana Menteri Haiti, Ariel Henry - Foto AFP
A
A
A

PORT-AU-PRINCE - Perdana Menteri Haiti, Ariel Henry memecat Ketua Pendakwa Raya, Bed-Ford Claude selepas beliau memohon kepada seorang hakim pada Selasa bagi mendakwanya terlibat dalam pembunuhan Presiden Jovenel Moise.

Claude juga meminta hakim tersebut mengeluarkan arahan menghalang Henry daripada meninggalkan negara itu.

Ini kerana terdapat bukti bahawa suspek utama dalam kejadian pembunuhan itu menghubungi Henry dua kali selepas Moise mati dibunuh pada awal pagi.

Bagaimanapun, Perdana Menteri itu kemudian memecat Claude daripada jawatannya kerana menuduh beliau terlibat dalam kes pembunuhan Moise.

Keputusan Henry itu dibuat beberapa jam selepas pendakwa raya itu meminta hakim tersebut mendakwanya kerana terlibat dalam kes pembunuhan Presiden Haiti.

Henry dilantik memegang jawatan tersebut kurang dua minggu selepas Presiden berkenaan mati dibunuh.

Presiden itu mati dibunuh oleh sekumpulan lelaki bersenjata di kediamannya di ibu negara Haiti, Port-au-Prince pada 7 Julai lalu.

Henry didakwa berbual dengan seorang suspek pembunuhan Moise, Joseph Badio yang kini dalam buruan dan pernah bekerja dengan Kementerian Keadilan serta unit antirasuah di negara tersebut. - Agensi

Artikel Berkaitan: