X

Kindly register in order to view this article
!

Todak League platform kebangkitan pemain baru e-sukan

Kejohanan Todak League Musim 2 menawarkan hadiah bernilai RM33,000.
A
A

KEJOHANAN Todak League anjuran gergasi e-sukan tempatan, Todak Culture Sdn Bhd (Todak) kini kembali bagi menyaksikan pemain-pemain pasukan dua permainan e-sukan popular negara iaitu PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) Mobile dan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) berentap pada musim kedua.

Pengarah Urusannya, Syed Shazni Syed Husin Affandi berkata, kejohanan yang bakal berlangsung pada 4 Oktober hingga 17 Disember ini bertujuan untuk melahirkan pemain e-sukan (gamer) yang bertaraf profesional.

Syed Shazni, 39, berharap acara tersebut dapat diperkenalkan kepada masyarakat dan menarik minat mereka terhadap dunia e-sukan serta komuniti permainan e-sukan.

“Todak League adalah satu platform untuk bertanding secara sihat, kali ini liga PUBG dibahagikan pada tiga kategori iaitu bawah 18, wanita dan terbuka kepada semua pemain seluruh Malaysia, manakala bagi MLBB dibuka untuk kategori terbuka sahaja.

“Bagi kategori bawah 18 akan berlangsung pada 4 hingga 23 Oktober, kategori wanita pada 25 hingga 28 Oktober dan terbuka akan bermula dari 1 November hingga 17 Disember.

“Kami menyasarkan sebanyak 4,000 pasukan akan sertai kejohanan ini bagi ketiga-tiga kategori. Bagaimanapun, untuk membuka lebih banyak ruang dan peluang bagi pemain baru di luar sana menonjolkan bakat, penganjur tidak akan menghadkan jumlah penyertaan pasukan,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Tidak hanya tertumpu kepada kelompok ‘gamer’, menariknya penganjuran Todak League musim terbaharu ini turut menawarkan beberapa pertandingan kepada orang awam yang bukan daripada golongan tersebut.

“Kami mahu memberikan pendedahan dunia permainan dalam talian ini kepada umum supaya mereka menerima e-sukan sebagai satu aktiviti atau budaya yang sihat.

“Antara pertandingan lain yang ditawarkan termasuklah menghasilkan slogan, poster dan video pengenalan Todak League.

“Pertandingan tersebut diadakan bagi menarik lebih ramai penulis (copywriter), pereka grafik, jurugambar dan juruvideo untuk menyertai kejohanan ini serta mengenali komuniti e-sukan,” ujarnya.

Bapa kepada empat orang cahaya mata itu menambah, satu sesi bootcamp akan diadakan untuk individu atau pasukan yang berumur 18 tahun ke bawah dilatih bermain permainan video bersama pemain profesional.

Beliau berkata, beberapa sesi bootcamp juga dianjurkan bagi mempercepatkan proses pencarian bakat baharu yang berpotensi tinggi bagi melahirkan lebih ramai pemain profesional.

“Dalam kem ini, pemain profesional akan mengajar mereka bermain selama dua hari, pada masa sama kami juga menyediakan sesi scrim iaitu platform untuk mereka berlatih.

“Penyertaan bootcamp terhad kepada 16 pasukan sahaja dan mereka akan diberi pendedahan secara langsung selain berlatih secara intensif. Peserta bootcamp juga akan diberikan sijil setelah tamat latihan.

“Berita baik kepada mereka yang berminat untuk menyertai Todak League, pendaftaran adalah percuma dan kita bakal menyaksikan semua pasukan bertanding bagi merebut hadiah terkumpul berjumlah RM33,000.

“Kami juga terbuka untuk berkolaborasi dengan jenama lain bagi memeriahkan lagi Todak League musim kedua ini,” jelas Syed Shazni.

Mereka yang berminat boleh mendaftar segera di https://todakleague.com bermula 20 September hingga 1 Oktober 2021.

Lancar produk, perkhidmatan baharu

Todak yang mula bertapak dalam industri e-sukan sejak 2017, kini sedang dalam proses peralihan untuk fokus pada penjualan barangan e-sukan dan penstriman iaitu ketika kempen itu akan dilancarkan pada kejohanan nanti.

Pada masa sama, jenama e-sukan nombor satu di Malaysia itu juga akan melancarkan produk dan perkhidmatan baharu merangkumi pakej komputer, pakej penstriman dan kursus penstriman langsung.

Menurut Syed Shazni, pakej komputer yang diperkenalkan merangkumi tiga peringkat iaitu asas, medium dan tinggi.

“Untuk peringkat asas biasanya sesuai untuk mereka yang bekerja di rumah atau Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dengan harga bermula dari RM900.

“Bagi spesifikasi medium pula sesuai untuk permainan video asas atau penstriman langsung tetapi kami lebih fokus pada peringkat asas dan medium untuk membantu individu mencari spesifikasi komputer yang paling berkesan untuk mereka.

“Kami adalah syarikat pertama yang mengeluarkan persisian komputer spek khusus untuk e-sukan antaranya seperti papan kekunci, tetikus, pad tetikus dan fon kepala. Dijangka pada Oktober ini kami akan memperkenalkan pakej lengkap persisian e-sukan termasuk kerusi dan meja,” katanya.

Bagi produk digital pula, Todak Culture akan menawarkan kursus pembelajaran penstriman langsung secara dalam talian kepada mereka yang ingin menjadi ‘streamer’. Peserta akan dilatih oleh ‘streamer’ profesional daripada syarikat itu sendiri.

“Skop bisnes ini adalah runcit dan perkhidmatan yang menfokuskan pada e-sukan serta penstriman langsung iaitu Todak Culture merupakan organisasi pertama yang betul-betul menuju ke arah e-sukan.

“Kami mahu Malaysia terkenal sebagai sumber ‘streamer’ profesional dwibahasa kerana vokal rakyat Malaysia sangat lantang di dunia dan kami lihat bisnes ini akan menjadi satu komoditi bakat,” katanya.


Nama: Syed Shazni Al-Qudsy

Syarikat: Todak Culture Sdn Bhd

Instagram: todakofficial

Facebook: todakofficial

Email: [email protected]

Syed Shazni Syed Husin Affandi
Syed Shazni Syed Husin Affandi


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!