X

Kindly register in order to view this article
!

Pantai, sungai bagai gula dihurung semut

Gambar hiasan. - Foto 123rf
A
A

PADA mulanya Merak Jalanan sangkakan gambar pantai dan sungai yang penuh sesak dengan orang ramai bagai semut menghurung gula adalah gambar lama sebelum PKP dilaksana tahun lalu. Rupa-rupanya ia gambar terbaharu di Melaka dan Selangor hujung minggu lalu.

Merak Jalanan juga naik gerun tengok video anak kecil, remaja dan orang dewasa bersesak-sesak tanpa penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka padahal kes Covid-19 masih melata di Lembah Klang.

Memandangkan aktiviti pelancongan telah dibenarkan, semua aktiviti pantai sudah boleh dijalankan.

Ada naik banana boat, ada main pasir, ada mandi-manda. Di kawasan pantai kelihatan anak-anak berlari-lari dan gerai tepi jalan tumbuh bagai cendawan selepas hujan.

Tidak kurang pula yang sekadar menjadi penonton - melepas rindu melihat keindahan alam atau memerhati gelagat manusia seperti burung terlepas sangkar selepas lama terkurung.

Ada yang kecam, ada yang pandang positif. Merak Jalanan lebih kasihankan anak-anak yang belum divaksin.

Kerajaan sudah beri kelonggaran, ibu bapa sepatutnya kenalah beringat. Kalau tengok tempat dah penuh, jalan sesak, patah balik sajalah.

Ini baru baru dibenarkan rentas daerah dan cuma pelancong dalam negeri yang datang, belum pelancong dari negeri-negeri lain. Merak Jalanan dengar ada ura-ura kerajaan akan benarkan aktiviti rentas negeri kepada individu lengkap dua dos vaksin tidak lama lagi.

Setakat 10 September lalu, lebih 17 juta penduduk negara ini sudah lengkap divaksin. Bayangkan bagaimana sesaknya pantai, sungai dan air terjun nanti.

Merak Jalanan harap ibu bapa tak takut hantar anak ke sekolah apabila sesi bersemuka bermula 3 Oktober nanti atas alasan belum divaksin. Kalau boleh bawa anak berkelah ke tempat sesak, tentulah mereka lebih yakin hantar anak ke sekolah yang lebih teratur SOPnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!