Beringatlah rakyat Malaysia!

No Image Caption
A
A
A

SESAK! Itulah situasi terkini yang berlaku di kebanyakan pusat rekreasi sebaik sahaja kerajaan memberi kebenaran kepada warga Lembah Klang untuk beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 10 September lalu.

Aktiviti rentas daerah yang paling dinanti-nantikan penduduk Lembah Klang lengkap dua dos vaksin, nampaknya dimanfaatkan sebaik mungkin sehingga jalan yang dulu lengang kini kembali sesak.

Paling ketara adalah pada hujung minggu lalu iaitu sehari selepas fasa dua PPN berkuat kuasa.

Taman rekreasi, pusat peranginan, pantai mahupun hutan lipur di pinggir bandar turut dibanjiri orang ramai yang seakan-akan mahu melepaskan geram dan rindu setelah lama terkurung.

Lesen rentas daerah itu juga membuatkan orang ramai mengambil kesempatan melakukan pelbagai aktiviti riadah bersama keluarga.

Daripada golongan muda, warga emas mahupun kanak-kanak masing-masing teruja melakukan pelbagai aktiviti.

Selain pusat rekreasi, pusat beli-belah yang dulunya sunyi kini kembali meriah. Kedai-kedai makan dan restoran juga penuh dengan kehadiran orang ramai yang mahu makan di kedai.

Sektor pelancongan dalam negeri yang kembali dibuka membolehkan orang ramai menginap di hotel dan homestay bersama keluarga.

Artikel Berkaitan:

Lebih menarik, kerajaan memberikan lampu hijau rentas negeri kepada rakyat yang mahu melancong ke Pulau Langkawi yang dipilih sebagai projek rintis gelembung pelancongan domestik.

Malah, syarikat penerbangan tambang murah AirAsia turut mengambil peluang menawarkan tambang murah serendah RM12 ke pulau peranginan itu.

Tanggungjawab jaga SOP

Rata-rata ramai yang teruja untuk melancong dan berkumpul dengan rakan-rakan serta keluarga. Namun kita tidak seharusnya lupa bahawa ancaman Covid-19 belum berakhir.

Menurut pakar kesihatan, risiko penyebaran virus secara sporadik akan bertambah jika masyarakat mula berkumpul di tempat awam tanpa menjaga prosedur operasi standard (SOP).

Perlu diingat, beberapa negara maju sudah mengambil pendekatan melonggarkan SOP, namun selepas wujudnya varian baharu seperti Delta dan Lambda, mereka terpaksa mengetatkan semula SOP.

Tindakan orang ramai berkumpul di tempat awam tanpa mematuhi SOP terutamanya tiada penjarakan fizikal hingga tular di media sosial telah mencetuskan kebimbangan kepada pihak berkuasa.

Pihak polis tampil memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap orang ramai sekiranya ingkar SOP, malah tidak teragak-agak mencadangkan kepada pihak berkuasa berkaitan supaya pusat rekreasi ditutup jika terlalu sesak dengan kehadiran orang awam yang tidak mematuhi SOP.

Namun sampai bilakah kerajaan mahupun pihak berkuasa harus mengambil tanggungjawab menjaga SOP rakyat.

Sudah hampir dua tahun negara bahkan seluruh dunia bergelut dengan Covid-19 dan kita sepatutnya lebih bersedia hidup bersama virus tersebut.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan bahawa negara dijangka memasuki fasa endemik pada penghujung Oktober selepas 80 peratus penduduk menerima dos lengkap vaksin. Endemik bermaksud kita perlu hidup dengan Covid-19!

Ya, hidup bersama Covid-19 yang memerlukan kita semua sentiasa mengamalkan norma baharu dan kekal mematuhi SOP.

Itulah pesanan yang sering kita dengar daripada Kementerian Kesihatan, malah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga selalu mengingatkan rakyat agar bersama-sama menjaga SOP bagi membendung penularan wabak.Beringatlah rakyat Malaysia bahawa tugas menjaga SOP bukan tanggungjawab kerajaan mahupun pihak berkuasa semata-mata sebaliknya menjadi tanggungjawab semua pihak.

Kita perlu terus berjaga-jaga termasuk mematuhi tiga SOP utama ditetapkan iaitu penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan kerap mencuci tangan.

Ingat, lengkap dos vaksin bukan bermaksud kita kebal daripada dijangkiti Covid-19. Seseorang yang sudah divaksin masih boleh dijangkiti virus ini, malah boleh menjangkiti orang lain.

* Arney Syema Anua ialah Web Editor Sinar Online