Pulut tetal makanan warisan golongan elit hampir pupus

Pulut tetal atau pulut tai tai, makanan warisan masyarakat Baba dan Nyonya dihias bersama bunga telang (butterfly-pea) digunakan sebagai pewarna biru asli kepada pulut tetal. - Foto Bernama
Pulut tetal atau pulut tai tai, makanan warisan masyarakat Baba dan Nyonya dihias bersama bunga telang (butterfly-pea) digunakan sebagai pewarna biru asli kepada pulut tetal. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Terdapat 213 makanan Malaysia yang disenaraikan sebagai warisan kebangsaan (kategori warisan tidak ketara) termasuk nasi lemak, roti canai dan teh tarik.

Turut tersenarai adalah pulut tetal atau pulut tai tai, makanan warisan masyarakat Baba dan Nyonya, yang bertapak di bumi Melaka sejak kira-kira 600 tahun lalu.

Hidangan pencuci mulut yang berasaskan pulut, berwarna biru nila dan putih ini turut dikenali sebagai pulut tekan, disenaraikan sebagai warisan kebangsaan pada tahun 2012 bersama makanan Baba dan Nyonya lain termasuk bubur cha-cha, popia serta pie tee.

Namun apabila diajukan soalan tentang makanan pencuci mulut ini, ramai dalam kalangan masyarakat berkenaan tidak tahu.

Jabatan Warisan Negara menerusi satu catatannya di akaun laman sosial pada tahun 2020 turut memaklumkan bahawa pulut tetal atau pulut tekan adalah makanan warisan yang hampir pupus.

Menu golongan elit

Tesaurus Dewan Bahasa dan Pustaka merujuk perkataan tetal sinonim dengan mampat atau padat. Selain itu terdapat definisi mengatakan perkataan "tai tai" dalam bahasa Cina merujuk kepada isteri orang kaya.

Pencuci mulut ini adalah menu eksklusif golongan tersebut pada zaman dulu. Tanggapan ini selari dengan hantaran Institut Warisan Melaka dalam akaun Instagramnya bahawa pulut tetal adalah sajian bagi golongan elit serta bangsawan pada satu ketika dan dihidang bersama seri kaya sebagai sarapan atau kudapan sewaktu minum petang.

Artikel Berkaitan:

Jabatan Warisan Negara dalam hantarannya di akaun Twitter berkata, pulut tetal unik kerana menggunakan pewarna biru asli daripada bunga telang yang turut digunakan sebagai pewarna semula jadi dalam nasi kerabu.

Menurut jabatan itu, dahulu pulut ini sering dihidangkan semasa kenduri namun kini kurang dikenali dalam kalangan generasi muda kerana kurang dihidangkan.

Pulut tetal Nyonya Zubaida

Kesedaran untuk mengelakkan pulut tetal daripada terus pupus mendorong Rosmawati Abdul Ghani, 48, yang berasal dari Taiping, Perak untuk mengusahakan perniagaan makanan warisan itu.

Pengusaha Pulut Tetal Nyonya Zubaida, Rosmawati Abdul Ghani, 48, memotong dan menyusun pulut tetal atau pulut tai tai. - Foto Bernama
Pengusaha Pulut Tetal Nyonya Zubaida, Rosmawati Abdul Ghani, 48, memotong dan menyusun pulut tetal atau pulut tai tai. - Foto Bernama

Berkongsi detik awal perniagaannya, beliau yang ditemu bual Bernama di rumahnya di Bukit Jelutong, Selangor berkata, semuanya bermula pada Aidilfitri tahun 2020, apabila beliau cuba menghasilkan sendiri makanan kegemaran suaminya, Azman Mohd Yusoff, 59, yang berketurunan Baba Nyonya di sebelah ibu.

Menurut Rosmawati, pulut tetal bersama rendang atau asam pedas adalah juadah wajib setiap kali beraya bersama keluarga suami di kampung halamannya di Tengkera, Melaka.

Memandangkan pada tahun 2020 kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan dan tidak dapat merentas negeri untuk ke Melaka, beliau cuba memasak sendiri juadah berkenaan.

"Saya cuba menghasilkan pulut tetal selepas suami memberitahu dia rindukan makanan yang menjadi hidangan wajib keluarganya. Alhamdulillah, suami saya berpuas hati dengan pulut tetal yang saya masak, ” katanya.

Reaksi positif suaminya itu menjadi motivasi untuk beliau memasak pencuci mulut berkenaan.

Setelah mencuba beberapa kali untuk memperbaiki mutu rasa, maka pada penghujung 2020, lahirlah Pulut Tetal Nyonya Zubaidah.

Rosmawati memilih nama Nyonya Zubaidah kerana ia adalah nama ibu mentuanya, Zubaidah Taib yang meninggal dunia sebelum beliau berkahwin dengan suaminya pada tahun 2006.

"Menu asal pulut ini dimakan dengan seri kaya. Hidangan pulut tetal bersama asam pedas daging adalah kebiasaan bagi keluarga suami dan dikekalkan oleh Pulut Tetal Nyonya Zubaidah.

Pelanggan boleh memilih untuk memesan pulut bersama asam pedas, seri kaya pandan atau serawa durian mengikut selera masing-masing,” kata beliau.

Selain menjadi menu utama di Hari Raya, keluarga mentuanya turut menjadikan pulut tetal sebagai hidangan wajib majlis malam berinai.

Gamit memori zaman sekolah

Ketika penulis berkongsi gambar Pulut Tetal Nyonya Zubaidah dengan bekas wartawan Norliza Abdul Rahman, 47, anak jati Umbai, Melaka ini, beliau berkata, makanan itu asing baginya.

Anak jati Umbai, Melaka, Norliza Abdul Rahman, 47, menikmati hidangan pulut tetal atau pulut tai tai, makanan warisan masyarakat Baba dan Nyonya, yang bertapak di bumi Melaka sejak kira-kira 600 tahun lalu. - Foto Bernama
Anak jati Umbai, Melaka, Norliza Abdul Rahman, 47, menikmati hidangan pulut tetal atau pulut tai tai, makanan warisan masyarakat Baba dan Nyonya, yang bertapak di bumi Melaka sejak kira-kira 600 tahun lalu. - Foto Bernama

Apabila penulis menjelaskan, ia adalah makanan warisan dari negeri kelahirannya, dan ia juga dikenali sebagai pulut tekan, baharulah beliau berkata, kali akhir menikmati makanan itu semasa di sekolah rendah.

Sejurus mendapat tahu tentang Pulut Tetal Nyonya Zubaidah, Norliza terus membuat pesanan untuk ketiga-tiga jenis hidangan iaitu asam pedas daging, seri kaya pandan dan serawa durian supaya boleh menikmati makanan warisan itu sehingga puas.

Norliza yang ditemui Bernama di kediamannya di Kajang berkata, ketika zaman kanak-kanak, beliau sering menikmati pulut tetal bersama seri kaya.

"Pulut tetal yang saya nikmati ketika kecil bukan keluarga saya yang masak kerana proses memasaknya rumit dan panjang. Tidak silap saya ia dibawa dari majlis tertentu. Selepas habis sekolah dan meninggalkan Melaka, saya tidak pernah berpeluang merasa pulut tetal sehingga hari ini.

Lebih menarik, hari ini saya berpeluang menikmatinya bersama asam pedas,” katanya.

Norliza menyifatkan Pulut Tetal yang dihidangkan bersama asam pedas menambah nilai 'Melaka' kepada makanan tersebut. Suami beliau, Nik Mansor Nik Mat, 52 yang berasal dari Kelantan dan empat anak mereka berusia 20-an hingga 11 tahun turut mencuba juadah berkenaan.

Norliza turut mempelawa dua sahabatnya yang berasal dari Perlis dan Pulau Pinang untuk mencuba makanan berkenaan.

Kerajaan sokong usaha lestari makanan warisan

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri ketika diminta mengulas inisiatif mempopularkan kembali makanan warisan yang hampir pupus turut mengalu-alukan usaha berkenaan.

Datuk Seri Nancy Shukri
Datuk Seri Nancy Shukri

Menurut beliau, industri makanan warisan berpotensi tinggi untuk dimajukan dan mampu menjadi tarikan serta tumpuan utama dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan.

"Seperti mana kejayaan Pulut Tetal Nyonya Zubaidah yang menjadikan makanan warisan sebagai produk utama, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yakin 212 makanan lain yang turut diberi status sebagai makanan warisan kebangsaan juga mempunyai potensi untuk diketengahkan oleh pengusaha makanan,” katanya menerusi satu kenyataan kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau memberikan contoh perusahaan kuih bahulu dan kek lapis Sarawak yang juga makanan warisan kebangsaan dan kini berjaya dikomersilkan secara meluas sehingga mendapat permintaan tinggi di pasaran.

Nancy berkata, kementeriannya sentiasa terbuka serta memberi sokongan penuh kepada pengusaha yang memerlukan bantuan, khidmat nasihat, kepakaran serta ingin mengetahui maklumat lanjut tentang senarai makanan yang diisytiharkan sebagai warisan kebangsaan mahupun maklumat mengenai makanan warisan yang hampir pupus.

Datuk Seri Nancy Shukri
Datuk Seri Nancy Shukri

Beliau berharap sokongan kementeriannya dapat menggalakkan lebih ramai lagi pengusaha makanan, chef, pengusaha restoran tempatan, hotel dan sebagainya untuk menyajikan makanan warisan di premis masing-masing.

Bagaimanapun, Nancy menekankan bahawa usaha pelestarian makanan warisan dan makanan hampir pupus bukan sahaja perlu dilakukan di peringkat kementeriannya tetapi memerlukan kerjasama, penghayatan dan sokongan semua pihak. - Bernama