Kejayaan kerjasama bergantung kepada keupayaan laksana MoU

Mohd Azizuddin ketika menjadi panel Wacana Sinar Harian edisi ke-289 bertajuk ‘Parlimen: Cabaran Kerjasama Dwi-Partisan’ pada Selasa.
Mohd Azizuddin ketika menjadi panel Wacana Sinar Harian edisi ke-289 bertajuk ‘Parlimen: Cabaran Kerjasama Dwi-Partisan’ pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Kejayaan kerjasama politik antara kerajaan dan blok terbesar pembangkang. Pakatan Harapan (PH) bergantung penuh terhadap kemampuan kedua-dua pihak melaksanakan perkara yang dipersetujui melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani pada Isnin.

Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, kegagalan mana-mana pihak memenuhi perkara dalam perjanjian tersebut berpotensi menyebabkan negara kembali jatuh kepada krisis politik dan pentadbiran seperti yang berlaku sebelum ini.

Beliau bagaimanapun berpandangan perkara tersebut merupakan sesuatu yang tidak sukar untuk dilaksanakan kerana kedua-dua pihak sudah menyatakan tuntutan dan tanggungjawab.

“Tuntutan itu sudah ada. Jadi perkara itu menyebabkan mereka agak sukar untuk tidak melaksanakan MoU tersebut.

“Mereka perlu terus memainkan peranan di peringkat nasional. Pembangkang terus melakukan semak dan imbang manakala kerajaan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Wacana Sinar Harian edisi ke-289 bertajuk ‘Parlimen: Cabaran Kerjasama Dwi-Partisan’ pada Selasa yang turut disertai oleh Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari dan Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff.

Pada Isnin, kerajaan Persekutuan dan PH melakar sejarah baharu negara apabila menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik bagi membentuk satu kerjasama dwipartisan dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia.

Antara agenda yang dimeterai menerusi MoU tersebut ialah pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohd Azizuddin berpandangan isu ekonomi merupakan perkara yang paling perlu ditekankan oleh kedua-dua pihak dalam usaha memenuhi MoU tersebut.

“Perlu ada tambahan dana contohnya peruntukan sebanyak RM45 bilion bagi menyelesaikan isu Covid-19 dan ekonomi. Perkara ini dilihat cuba dibawa oleh pembangkang untuk diluluskan secara bersama dengan kerajaan.

“Ini termasuk bantuan yang disediakan bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan lain-lain lagi. Saya rasa ini penting untuk pastikan ekonomi kita berkembang semula apabila pasaran kembali dibuka,” jelasnya.