X

Kindly register in order to view this article
!

MPM alu-alukan sumbangan dana awam

Megat Shahriman Zaharudin
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin mengalu-alukan sumbangan dana awam buat jaguh lontar peluru para kebangsaan, Muhammad Ziyad Zolkefli.

Beliau berkata, daripada terus memberi komen dan ulasan berhubung isu melibatkan atlet berusia 31 tahun itu, lebih baik diwujudkan inisiatif tersebut bagi mengenang jasa dan pengorbanannya mengharumkan nama negara selama ini.

Megat Shahriman yang tampil dalam program Sukan+ terbitan Bernama TV malam Rabu berkata, orang ramai terutamanya netizen yang cakna dengan nasib Muhammad Ziyad boleh menunjukkan keprihatinan mereka dengan cara tersebut.

Beliau pada masa sama, bersetuju insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) tidak sesuai untuk diberikan kepada jaguh negara itu.

"Untuk Shakam mempunyai peraturan dan kriteria, jika Ziyad memenuhi kriteria itu bolehlah, tetapi beliau tidak menang pingat dan walaupun dia pecahkan rekod, ia tidak diiktiraf. Tapi untuk orang luar sana, mana-mana pihak atau individu yang ingin buat sumbangan dana awam, jika nak bantu, tidak ada masalah untuk bantu dia. Kami mengalu-alukan usaha tersebut,” katanya.

Mengulas mengenai insentif daripada MPM, Megat Shahriman yang juga Ketua Kontinjen Paralimpik Malaysia ke Tokyo 2020 berkata, badan induk itu akan bermesyuarat bagi membincangkan perkara tersebut dalam masa terdekat.

“Ada yang mengatakan MPM untuk beri duit sejuta ini, saya fikir tidak...bukan tugas MPM sebenarnya dan kami bukan badan kebajikan dan (sebaliknya) ada kebajikan (tertentu) yang kami bantu.

“Tetapi untuk memberi hadiah kemenangan itu tiada dalam perlembagaan dan peraturan kami, tapi tengok mesyuarat nanti yang saya akan adakan. Tengok apa yang kami boleh bantu Ziyad,” katanya.

Muhammad Ziyad terlepas pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) Sukan Paralimpik Tokyo 2020 baru-baru ini, selepas didakwa lewat melapor diri di bilik menunggu.

Insiden di Stadium Olimpik Tokyo itu menyaksikan Muhammad Ziyad terlepas ganjaran berjumlah RM1 juta di bawah Shakam bagi kejayaan memenangi pingat emas Paralimpik dan ganjaran tambahan RM100,000 daripada FWD Takaful.

Muhammad Ziyad sebelum ini pernah menerima insentif SHAKAM berjumlah RM1 juta dan pencen bulanan sepanjang hayat sebanyak RM5,000 daripada kerajaan atas kejayaan meraih pingat emas dalam acara sama di temasya Paralimpik Rio 2016. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!