Lelaki, dua wanita warga asing ditahan edar dadah

Ismadi (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam satu serbuan di sebuah apartmen di Puchong malam semalam.
Ismadi (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam satu serbuan di sebuah apartmen di Puchong malam semalam.
A
A
A

SERDANG - Kegiatan dua wanita warga asing dan seorang lelaki tempatan yang aktif mengedar dadah di sekitar Lembah Klang tumpas selepas ditahan polis dalam serbuan di sebuah apartmen di Puchong malam semalam.

Suspek berusia antara 25 hingga 39 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang kira-kira pukul 11.45 malam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, semua suspek ditahan di kawasan parkir kenderaan apartmen tersebut dan dipercayai sedang menunggu pelanggan.

“Selain tangkapan, polis turut merampas 1,890 biji pil disyaki dadah jenis ekstasi, pil erimin 5 200 biji, bahan disyaki dadah ketamin dengan anggaran berat 62.70 gram dan kesemua rampasan tersebut dianggarkan bernilai RM100,000.

“Turut dirampas ialah sebuah kereta mewah jenis Honda CR-V serta Audi Q7, wang tunai RM1,080.00 dan anggaran keseluruhan nilai sita kereta berjumlah RM111,080.00,” katanya dalam satu sidang media di IPD Serdang, di sini hari ini.

Menurut Ismadi, siasatan awal mendapati kesemua suspek aktif mengedar dadah sejak tiga bulan lalu untuk dijual kepada pengunjung pusat hiburan di sekitar daerah Serdang.

"Suspek lelaki juga didapati mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 9 Mac depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya lagi.

Artikel Berkaitan: