Pertahan asing jantina

Waheedullah yang juga komander Taliban ketika wawancara bersama Reuters di sebuah lokasi dirahsiakan berhampiran sempadan Afghanistan-Pakistan pada bulan lalu. - Foto Agensi
Waheedullah yang juga komander Taliban ketika wawancara bersama Reuters di sebuah lokasi dirahsiakan berhampiran sempadan Afghanistan-Pakistan pada bulan lalu. - Foto Agensi
A
A
A

KABUL - Wanita Afghanistan tidak wajar dibenarkan bekerja bersama golongan lelaki di pejabat kerajaan dan institusi perbankan.

Kenyataan yang sekali lagi mempertahankan peraturan pengasingan jantina dikeluarkan pemimpin kanan Taliban, Waheedullah Hashimi yang turut mengesahkan pemerintahan baharu gerakan itu akan melaksanakan undang-undang Islam secara penuh.

"Hampir 40 tahun kami memperjuangkan pelaksanaan sistem syariah di negara ini. Di bawah undang-undang itu, wanita dan lelaki tidak boleh kerja bersama di bawah satu bumbung.

"Mereka juga tidak dibenarkan hadir di pejabat kami dan bekerja dengan kementerian di bawah pentadbiran Taliban," tegasnya sambil menambah larangan penglibatan wanita juga perlu dilaksanakan ke atas sektor seperti media.

Menurutnya lagi, komunikasi antara lelaki dan wanita bagaimanapun dibenarkan di bawah situasi tertentu seperti apabila pesakit bertemu dengan doktor lelaki.

Selain itu, wanita juga diberi kebenaran untuk mengikuti pengajian dan bekerja dalam sektor pendidikan serta perubatan menerusi kemudahan khas yang disediakan secara berasingan untuk golongan tersebut.

Kenyataan itu dilihat bertentangan dengan jaminan diberikan jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid yang berpendapat golongan wanita memegang peranan penting dalam komuniti dan akan bekerja dalam sektor yang berbeza di bawah pentadbiran baharu gerakan tersebut yang lebih bertolak-ansur. - Agensi

Info

Artikel Berkaitan:

- Menurut Bank Dunia, kadar buruh wanita mencapai 23 peratus pada 2020 dan berada pada tahap sifar ketika era pemerintahan terakhir Taliban.