X

Kindly register in order to view this article
!

MoU kerajaan-PH terpakai sehingga Parlimen ke-14 dibubarkan

Kerajaan bersetuju tidak akan mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 Julai 2022.
A
A

KUALA LUMPUR - Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) telah berkuat kuasa pada Isnin dan terpakai sehingga Parlimen ke-14 dibubarkan.

Salinan memorandum persefahaman setebal 17 muka surat itu yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen pada Selasa turut menyatakan kerajaan bersetuju tidak akan mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 Julai 2022.

Menurut memorandum itu, kerajaan hendaklah berusaha dengan ikhtiar terbaik melaksanakan setiap satu dan segala transformasi yang dicadangkan dan dalam aturan masa yang dipersetujui kedua-dua pihak.

MoU berkenaan juga menyatakan bahawa PH bersetuju untuk mengambil pendirian menyokong atau berkecuali bagi undi Belanjawan 2022 dan undang-undang perbekalan atau kewangan berkaitan dengan Belanjawan 2022 serta proses penggubalan rang undang-undang tersebut dirunding dan dipersetujui secara bersama.

PH juga bersetuju menyokong atau berkecuali dalam proses meluluskan apa-apa usul kerajaan, rang undang-undang lain yang kegagalan meluluskannya merupakan suatu bentuk ketidakpercayaan atau tiada keyakinan kepada kerajaan selepas proses penggubalan rang undang-undang tersebut dirunding dan dipersetujui secara bersama.

Namun, persetujuan PH itu tertakluk kepada penunaian dan pelaksanaan transformasi dalam aturan masa yang dipersetujui.

MoU tersebut, yang dipersetujui tiada kerahsiaan dan didedahkan kepada umum sebagai komitmen terhadap keterbukaan dan kebertanggungjawaban, juga turut menjelaskan kegagalan menunaikan dan melaksanakan mana-mana transformasi adalah satu pelanggaran dan boleh menyebabkan perjanjian ditamatkan.

Memorandum persefahaman itu juga dikawal dan ditafsirkan mengikut undang-undang Malaysia.

Kedua-dua pihak bersetuju MoU berkenaan tidak akan memberi kesan kepada peranan, hak dan tanggungjawab PH untuk semak imbang, mengawasi, meneliti dan memastikan kerajaan bertanggungjawab terhadap Parlimen termasuk memastikan ketelusan, integriti dan keberkesanan kerajaan dalam mengendalikan isu rakyat.

MoU itu mempunyai enam agenda merangkumi pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa Pemandu.

Di bawah agenda pemerkasaan Covid-19, dipersetujui Majlis Pemulihan Negara perlu terdiri daripada 50 peratus pakar sektor awam dan swasta dilantik oleh kerajaan sebagai penasihat dengan pembangkang boleh mengemukakan nama.

Turut dipersetujui kedua-dua pihak adalah bantuan tunai kepada rakyat golongan B40, M40 diteruskan pada tahun hadapan, mempercepatkan pembelian tambahan enam juta dos vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), mengusahakan pengecualian bayaran faedah moratorium pinjaman bank bagi tempoh tiga bulan suku keempat tahun ini.

Bagi agenda transformasi pentadbiran pula, kedua-dua pihak bersetuju rang undang-undang Antilompat Parti dan/atau undang-undang yang berkenaan akan dibentang dan diluluskan di Parlimen, memastikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempercepat pelaksanaan pendaftaran umur minima pengundi 18 tahun dan membentangkan dan meluluskan rang undang-undang mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun.

Agenda Pembaharuan Parlimen pula, kedua-dua pihak bersetuju undang-undang Perkhidmatan Parlimen dibentang dan diluluskan setelah perbincangan, libat urus dan persetujuan Yang di-Pertua kedua-dua dewan diadakan.

Turut dipersetujui adalah memastikan Jawatankuasa Pilihan Khas sedia ada distruktur semula dan menambah lagi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengikut keperluan serta memastikan jumlah Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adalah seimbang.

Di bawah agenda kebebasan institusi kehakiman, kedua-dua pihak bersetuju memastikan kebebasan badan kehakiman, transformasi institusi dan tatakelola yang baik dilaksanakan sepanjang masa manakala bagi agenda MA63, kerajaan dan PH bersetuju memperkukuh usaha ke arah pelaksanaan perkara-perkara yang termaktub dalam perjanjian MA63 dan dokumen berkaitan.

Di bawah agenda pembentukan jawatankuasa pemandu, dipersetujui penubuhan dianggotai 10 individu dengan masing-masing lima wakil dari kerajaan dan pembangkang dan jawatankuasa itu hendaklah bermesyuarat sekali setiap dua minggu atau mengikut jadual yang dipersetujui kedua-dua pihak.

Memorandum itu ditandatangani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi pihak kerajaan, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu dan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau - kesemuanya bagi pihak PH.

Turut menadatangani MoU itu sebagai saksi ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook, Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Peter Donald Mojuntin. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!