Tujuh lokaliti di Sabah, Pahang, Kelantan kena PKPD

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Tujuh lokaliti di tiga negeri iaitu Sabah, Pahang dan Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa Khamis ini hingga 29 September depan.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad berkata, PKPD di Sabah membabitkan lima lokaliti iaitu di Kampung Kirangawan Darat dan Tengah, Kampung Pinatau, Kota Marudu; Kampung Nuntunan Apin-Apin, Keningau; Kampung Lungkidau, Ranau serta Perumahan Pekerja Ladang Boustead Ruku-Ruku, Telupid.

Menurutnya, bagi negeri Pahang, kawasan yang terlibat ialah Kampung Tementong, Mukim Cheka 1, Lipis, manakala negeri Kelantan membabitkan Kampung Bahagia, Mukim Batu Mengkebang, Kuala Krai.

"Kesemua kawasan itu dikenakan PKPD setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Rodzi berkata, PKPD di Kampung Badong Dalam dan Kampung Permatang Durian, Pekan, Pahang dilanjutkan dari 16 September sehingga 29 September ini.

Selain itu, beliau berkata, PKPD di beberapa kawasan di Sabah juga ditamatkan.

"PKPD di Taman Ria Height, Tawau; Kampung Narawang dan Kampung Mininsalu Baru (Pasir Putih) Ranau ditamatkan seperti yang dijadualkan iaitu pada 15 September.

"PKPD di Kampung Labuan, Kampung Ambong Tolus dan Kampung Rampayan Laut, Kota Belud pula ditamatkan lebih awal pada 15 September ini," katanya.

Artikel Berkaitan: