X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

Kilang lebur e-waste haram diarah henti operasi

Kilang lebur e-waste haram yang disyaki beroperasi secara haram di Kampung Orang Asli Mikang, Muadzam Shah diarah hentikan operasi kerana menyebabkan pencemaran bau kawasan berhampiran.
A
A

KUANTAN - Sebuah kilang pelebur e-waste yang disyaki beroperasi secara haram di Kampung Orang Asli Mikang, Muadzam Shah diarah menghentikan operasi kerana menyebabkan pencemaran bau kawasan berhampiran.

Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam kenyataannya memaklumkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengeluarkan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) ke atas premis itu mulai Isnin disusuli dengan perintah larangan.

Menurut kenyataan itu, JAS turut mengeluarkan empat kompaun ke atas pemilik tanah tersebut selain mengesyorkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui Jawatankuasa Tindakan Daerah untuk mengambil tindakan merobohkan premis kerana operasinya tidak sesuai di kawasan berkenaan.

Alat disyaki digunakan untuk melebur e-waste yang ditemui di premis kilang haram di Kampung Orang Asli Mikang, Muadzam Shah.
Alat disyaki digunakan untuk melebur e-waste yang ditemui di premis kilang haram di Kampung Orang Asli Mikang, Muadzam Shah.

"Aktiviti kilang haram itu terbongkar susulan penemuan alat pembakaran bahan api yang dilengkapi cerobong dan dua janakuasa dipercayai digunakan meleburkan papan litar, wayar elektrik dan elektronik untuk dijadikan jongkong.

"Lima sampel bahan mentah telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisa komposisi kimia," jelas kenyataan pada Selasa.

Tambah kenyataan berkenaan, JAS Pahang membuka kertas siasatan untuk mendakwa pemilik kilang terbabit.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 34A dan 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 atas kesalahan menerima, menempatkan, meletakkan dan meleburkan e-waste tanpa kelulusan Ketua Pengarah Alam Sekeliling.

"Jika sabit kesalahan, pihak terlibat berdepan denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!