Harga ayam naik terlalu tinggi: Anwar

Harga ayam naik kepada RM10 sekilogram pada Sabtu lalu berbanding RM7 sekilogram pada 4 September lepas. - Foto Bernama
Harga ayam naik kepada RM10 sekilogram pada Sabtu lalu berbanding RM7 sekilogram pada 4 September lepas. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan langkah kawalan harga yang dilakukan kerajaan hingga harga barang terutama ayam segar naik terlalu tinggi.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, pengawalan harga yang dilakukan kerajaan sekarang sangat lemah.

Menurutnya, harga ayam naik kepada RM10 sekilogram pada Sabtu lalu berbanding RM7 sekilogram pada 4 September lepas.

"Kenaikan ini adalah lebih 29.5 peratus dalam tempoh setahun walaupun inflasi dikatakan masih pada kadar tiga peratus.

"Harga ini adalah termahal di pasar basah dan saya minta kerajaan beri perhatian," katanya ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Selasa.

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan, kenaikan harga itu turut melibatkan beberapa lagi barangan basah lain iaitu cili merah kulai, santan pekat dan kelapa parut.

Katanya, apa yang agak luar biasa, harga barangan termasuk ayam agak terkawal di Sarawak.

"Ada yang memberi penjelasan kepada saya keadaan ini berlaku kerana pasaran di negeri itu lebih terbuka dan di sini (Semenanjung Malaysia) kerana pasaran dikongkong oleh monopoli import.

Artikel Berkaitan:

"Saya memerlukan penjelasan daripada menteri mengapa peningkatan semua harga ini. Kalau banding di Sarawak, kenaikan itu sangat minimum," katanya.