Mozek tertua di dunia ditemukan di Turki

Penggalian itu dilakukan dengan kerjasama Lembaga Pengarah untuk Warisan Kebudayaan dan Muzium, Universiti Bozok dan Universiti Pisa Itali. - Foto Agensi Anadolu
Penggalian itu dilakukan dengan kerjasama Lembaga Pengarah untuk Warisan Kebudayaan dan Muzium, Universiti Bozok dan Universiti Pisa Itali. - Foto Agensi Anadolu
A
A
A

YOZGAT - Ahli ekskavasi telah menjumpai mozek berusia 3,500 tahun, yang tertua di dunia di tengah Turki.

Menurut Agensi Anadolu, mozek batu berjumlah 3,147 keping dengan ukuran 3x7 meter itu ditemukan di Usakli Hoyuk, di daerah Sorgun Yozgat, ketika kajian permukaan dimulakan sejak 2008 dan penggalian bermula pada 2012.

Penggalian itu dilakukan dengan kerjasama Lembaga Pengarah untuk Warisan Kebudayaan dan Muzium, Universiti Bozok dan Universiti Pisa Itali, kata pengarah kebudayaan dan pelancongan wilayah Huseyin Ciftci.

"Kajian saintifik menunjukkan penemuan mozek itu adalah mozek pertama dalam sejarah dunia. Cetakan pada mozek turut menyokong kenyataan ini, kerana ia cukup primitif. Kami merancang mendapatkan tempat ini untuk sektor pelancongan," katanya.

Pensyarah di Universiti Pisa Anacleto D'agostino yang juga ketua pasukan ekskavasi berkata, mozek yang ditemukan itu telah wujud pada 1500-an Sebelum Masehi dan tertua di dunia.

"Kami tahu ada mozek yang serupa di Greece, tetapi kami berpendapat mozek di sini lebih tua berbanding yang ada di sana," katanya. -Bernama

Artikel Berkaitan: