X

Kindly register in order to view this article
!

Sumbangan sektor agromakanan kepada KDNK meningkat 6.8 peratus

Ronald Kiandee pada program pelancaran VirtualAgrotechnology Extension 2021 (VAE 2021) yang diadakan secara dalam talian pada Selasa.
A
A

SUMBANGAN sektor agromakanan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) meningkat dengan kadar pertumbuhan 6.8 peratus kepada RM51.3 bilion pada tahun 2020 berbanding RM28.3 bilion pada tahun 2011.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, bagi subsektor tanaman masih kekal sebagai penyumbang utama iaitu RM24.1 bilion berbanding dengan subsektor lain di bawah sektor agromakanan.

Menurut beliau, produktiviti dan hasil pertanian dapat ditingkatkan lagi melalui penggunaan teknologi pertanian pintar seperti precision farming, internet of things (IOT), big data, artificial intelligence (AI), blockchain serta dron bagi aktiviti pemetaan, taburan benih, semburan racun dan baja.

Ronald Kiandee ketika berucap dalam Program Virtual Agrotechnology Extension 2021 (VAE 2021) secara dalam talian pada Selasa.
Ronald Kiandee ketika berucap dalam Program Virtual Agrotechnology Extension 2021 (VAE 2021) secara dalam talian pada Selasa.

“Penggunaan teknologi dapat menyumbang kepada peningkatan kualiti serta kuantiti hasil tanaman seterusnya meningkatkan produktiviti secara keseluruhan.

“Selain teknologi, penumpuan juga akan diberikan kepada peningkatan kompetensi teknikal pegawai pengembangan agar mampu melaksanakan pemindahan teknologi kepada pengeluar makanan serta menyediakan persekitaran yang kondusif untuk penerimagunaan teknologi oleh golongan sasar melalui kemudahan kewangan, pendigitalan produk serta penyediaan akses pasaran secara e-dagang.

“Langkah ini seiring dengan matlamat utama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Jabatan Pertanian untuk menjadikan sektor agromakanan sebagai suatu industri yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat serta mengutamakan sekuriti dan nutrisi makanan,” katanya ketika melancarkan Program Virtual Agrotechnology Extension 2021 (VAE 2021) secara dalam talian pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Haslina Abdul Hamid, Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Eliyas Saad, Timbalan Ketua Pengarah Pengarah Pertanian (Pembangunan Industri dan Pengembangan), Datuk Zahimi Hassan.

Dalam pada itu, Ronald berkata, VAE 2021 anjuran Jabatan Pertanian Malaysia (JPM) merupakan program pengembangan teknologi pertanian terkini yang dirangka khusus untuk merancakkan lagi industri agromakanan negara dalam keadaan norma baharu.

Menurutnya, penganjuran VAE 2021 tersebut selaras dengan dasar dan usaha MAFI yang memberi penekanan khusus terhadap strategi pemodenan dan pertanian pintar melalui penggubalan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Jelas beliau, usaha memacu modenisasi dalam agromakanan adalah selari dengan aspirasi nasional ke arah merevolusikan Industri 4.0 dalam sektor ekonomi negara.

“Program ini juga menggalakkan penglibatan pihak industri di bawah subsektor tanaman untuk membuka peluang perniagaan secara kontrak ladang melalui aktiviti pemadanan perniagaan (business matching) dengan pengeluar hasil pertanian untuk pasaran domestik dan eksport.

“Melalui VAE 2021, peserta berpeluang untuk berkongsi kepakaran teknologi pertanian terbaik yang diamalkan oleh syarikat pertanian terkemuka di dunia.

Poster program Virtual Agrotechnology Extension 2021 (VAE 2021).
Poster program Virtual Agrotechnology Extension 2021 (VAE 2021).

“Selain itu, program tersebut juga dapat membantu MAFI memperluas dan memperkasakan pemasaran hasilan pertanian melalui platform e-dagang untuk mempertingkatkan kebolehpasaran dan kebolehdapatan hasilan pertanian bagi pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya.

Tambah beliau, penganjuran program VAE pada kali ini melibatkan kerjasama strategik bersama pihak swasta termasuk penyertaan syarikat luar negara daripada Belanda, Australia, Korea Selatan dan Afrika Selatan bagi berkongsi kepakaran teknologi pertanian yang terkini melalui pembentangan khas.

Katanya, antara perkongsian yang diberikan ialah berkaitan Climate Control Farming Technology, Integrated, Pest Management in Biological Control, Incubator Technology and Water Treatment Technology yang merupakan elemen penting dalam pembangunan sektor agromakanan negara.

“Bagi memastikan tiada pihak yang ketinggalan dan lebih ramai pengguna dapat mengakses maklumat serta teknologi yang disampaikan dalam webinar tersebut, program itu akan disiarkan selama 30 hari di laman web rasmi program iaitu www.vae2021.com.

“Malah program tersebut turut dikongsi di semua platform media sosial Jabatan Pertanian seperti Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube TV Pertanian,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!