X

Kindly register in order to view this article
!

Kemenangan BN manifestasi kebangkitan rakyat

A
A

PENDANG - Kemenangan calon BN pada PRK DUN Semenyih baru-baru ini adalah satu manifestasi kebangkitan rakyat, terutama Melayu Islam.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Suraya Yaacob berkata, mereka tidak sesekali rela melihat kepentingan Islam dan bangsa Melayu tercabar di Tanah Melayu.

"Melayu tidak akan tunduk pada rejim DAP yang bertopengkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kita tidak reda melihat rakyat terus ditipu dengan janji palsu dan dasar-dasar yang tidak mempedulikan kebajikan rakyat," katanya.

Menurutnya, pada PRU14 lalu, PH memenangi DUN Semenyih dengan majoriti besar sebanyak 8,964 undi.

"Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin pula berbangga dengan 'simulasi PH' yang mengatakan calon partinya akan menang dengan majoriti 1,989 undi.

"Sepanjang kempen di PRK DUN Semenyih, jentera BN dan PAS 'diserang' dari pelbagai bentuk tekanan dan provokasi," katanya.

Suraya berkata, di atas kertas, amat sukar bagi BN dan PAS untuk merampas DUN Semenyih daripada PH kerana kawasan itu layaknya membawa maruah Bersatu, namun BN dan PAS tidak berputus asa.

"Biar putih tulang, tidak sesekali berputih mata, kami berganding bahu, rela berpanas, sanggup berdepan apa jua cabaran demi menegakkan yang hak dan menidakkan yang batil.

"Kami istiqamah, terus berusaha, sabar, berdoa dan berserah kepada ALLAH untuk menentukan hasil perjuangan kami. Alhamdulillah, lebih 10,000 undi yang dulunya memihak PH, kini meyakini perjuangan BN dan PAS," katanya.

Menurutnya, rakyat Semenyih seolah-olah menyuarakan isi hati rakyat dari seluruh pelusuk negara.

"Terima kasih tidak terhingga kepada seluruh warga BN dan PAS yang memberi sokongan padu kepada BN pada PRK Semenyih.

"Atas nama Islam, kita eratkan lagi ukhuwah dan perjuangan bersama dan dengan izin ALLAH, kita akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang jauh lebih baik berbanding sekarang," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!