X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

Perkasa desak kerajaan tidak layan tuntutan iktiraf UEC

Azrol Mansor
A
A

SUNGAI PETANI - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendesak kerajaan agar tidak melayan tuntutan mengiktiraf sijil Unified Examination Certificate (UEC).

Ketua Penerangan Perkasa Kedah, Azrol Mansor berkata, UEC yang banyak dipraktikkan di sekolah persendirian cina dianggap sebagai tidak selari dengan dasar pendidikan negara.

Menurutnya, tuntutan mengiktiraf UEC oleh pihak tertentu tidak pernah habis walaupun berlaku pertukaran kerajaan di peringkat Persekutuan akibat pergolakan politik ketika ini.

"Pada hari ini juga, kerajaan Keluarga Malaysia bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga tidak terlepas menerima tekanan daripada pihak tertentu yang mendesak agar kerajaan mengiktiraf sijil UEC," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Perkasa berharap kerajaan tidak akan sekali-kali tunduk kepada ancaman dan ugutan dari mana-mana pihak agar memberi pengiktirafan kepada sijil berkenaan.

Jelasnya, kerajaan perlu meneliti dan melihat kepada implikasi dan kesan jangka panjang jika sijil UEC itu diiktiraf kerana ia dilihat tidak adil kepada pelajar yang tekun mengikuti aliran sistem pendidikan kebangsaan.

"Pengiktirafan UEC hanya akan mewujudkan sistem dua aliran pendidikan yang berbeza dan tentunya ia akan menyumbang kepada pemisahan ideologi serta cara pergaulan rakyat Malaysia yang berbeza.

"Selain itu, ia turut dikhuatiri boleh mencetuskan tuntutan kaum lain berkaitan sijil daripada sekolah vernakular sebagai asas kelayakan terhadap mana-mana permohonan selepas ini.

"Kami berpendapat ia juga tidak selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, malah sekiranya sijil ini diiktiraf juga, ia boleh dikatakan sebagai satu bentuk penderhakaan besar kepada sistem pendidikan negara kita dan boleh diistilahkan seperti peribahasa 'kera di hutan disusukan, anak di rumah kelaparan'," ujarnya.

Sijil UEC banyak dipraktikkan di sekolah persendirian Cina dengan menggunakan Bahasa Cina sebagai bahasa pengantar bagi kurikulum dan peperiksaan.

Pakatan Harapan melalui manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 berjanji akan mengiktiraf UEC sebagai syarat am kelayakan masuk ke institut pengajian tinggi awam (IPTA) dengan syarat pemohon mendapat kepujian dalam Bahasa Melayu.

Dengan ini, UEC akan dinilai setaraf dengan syarat am kelayakan sedia ada untuk kemasukan ke IPTA.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!