AirAsia catat permintaan kukuh bagi penerbangan ke Langkawi

Pulau Langkawi. - Foto 123rf
Pulau Langkawi. - Foto 123rf
A
A
A

AIRASIA mencatatkan permintaan kukuh bagi penerbangan ke Langkawi berikutan pengumuman kerajaan mengenai prosedur operasi standard (SOP) sempena gelembung pelancongan ke pulau itu pada minggu lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, syarikat itu telah mencapai 200,000 jualan tiket susulan pembukaan semula pulau itu kepada pelancong domestik yang telah lengkap divaksinasi, bermula 16 September ini.

“Bagi (tempahan) hari pertama sahaja (9 September), kita telah menjual hampir 30,000 tiket,” katanya pada sidang akhbar secara maya berhubung gelembung pelancongan ke Langkawi dan pelancaran produk-produk airasia Super App.

Riad berkata, AirAsia Malaysia akan menyambung semula 90 penerbangan mingguan ke Langkawi dan dari Langkawi iaitu berlepas dari Kuala Lumpur (63 kali seminggu), Pulau Pinang (14 kali seminggu), Johor Bahru (tujuh kali), Ipoh (tiga kali) dan Kota Bharu (tiga kali).

Menurutnya tiket penerbangan AirAsia Malaysia bagi September dan Oktober laris dijual, menyebabkan syarikat penerbangan itu yakin momentum tersebut akan berterusan.

Selain tu, airasia Super App bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) untuk menawarkan pengalaman baharu membeli-belah bebas cukai secara digital dan tanpa sentuh, yang akan menyaksikan penghantaran pada hari yang sama ke seluruh hotel di Langkawi pada akhir bulan ini.

CEO airasia Super App, Amanda Woo berkata, antara perkhidmatan yang akan ditawarkan pada masa akan datang adalah penghantaran ke tempat duduk dalam penerbangan, pengambilan di lapangan terbang selain di hotel, dan penghantaran ke rumah melalui 13 peruncit ASEAN dengan tawaran bebas cukai AirAsia.

airasia Super App yang kini menawarkan perkhidmatan e-hailing susulan pelancaran AirAsia ride baru-baru ini akan turut beroperasi di Pulau Langkawi, bermula 16 September ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, menurut CEO LADA, Nasaruddin Abdul Muttalib, Langkawi mencatatkan 285 penerbangan seminggu pada 2019.

“Bagaimanapun, apabila dilanda pandemik pada 2020, kekerapan penerbangan merosot kepada 195 seminggu. Oleh itu, pada masa akan datang, kami berharap untuk bekerjasama secara strategik dengan AirAsia bagi menarik kunjungan lebih ramai pelancong ke pulau ini.

“Menerusi sokongan daripada kerajaan Persekutuan, diharap usaha ini akan segera membuka peluang kepada lebih banyak perjalanan domestik dan antarabangsa yang baharu ke Langkawi,” katanya.

Nasaruddin berkata, menurut data Persatuan Hotel Malaysia, hotel empat dan lima bintang mencatatkan kadar purata penghunian sebanyak 50 peratus.

Sementara itu, kadar penghunian bagi hotel tiga bintang ke bawah masih rendah iaitu kira-kira 20 hingga 30 peratus.

Seiring dengan pembukaan semula Langkawi kepada pelancong domestik, LADA bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk menyediakan SOP yang komprehensif bagi pasaran antarabangsa.

“Perancangannya adalah untuk kali pertama membuka pulau ini melalui pengaturan penerbangan carter menjelang akhir tahun ini.

“Ini bagi membolehkan persekitaran bercuti yang lebih lestari dan mudah diurus, yang mana pelancong perlu membeli pakej percutian sebelum melancong ke Langkawi,” katanya. - Bernama