Jajaran politik perpaduan ummah agenda utama MN Selangor

Noh (kiri) dan Ahmad Yunus (kanan).
Noh (kiri) dan Ahmad Yunus (kanan).
A
A
A

SHAH ALAM - Jajaran politik perpaduan ummah akan terus menjadi agenda utama gabungan Muafakat Nasional (MN) Selangor bagi menawan semula negeri ini daripada Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dalam satu kenyataan bersama berkata, pihaknya konsisten memperkasakan agenda Islam, Melayu dan bumiputera secara tuntas di negeri ini sebagai mana yang dipersetujui dalam Piagam MN sebelum ini.

Menurut kenyataan itu, MN Selangor juga menerima realiti kepelbagaian agama, kaum serta budaya dan akan melibatkan semua pihak bagi mencapai keharmonian di negara ini.

"MN Selangor akan kekal mempertahankan kerajaan Keluarga Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan memastikan jajaran perpaduan ini terus menjadi agenda utama," kata kenyataan itu yang dikeluarkan bersempena Ulangtahun Kedua MN pada Selasa.

Tambah kenyataan itu, sepanjang dua tahun penubuhan gabungan berkenaan, MN Selangor juga terus melangkah ke hadapan dalam memperkasakan agenda penyatuan ummah di samping berjaya menubuhkan kerjasama politik antara dua parti.

Kata kenyataan itu, kerjasama ini juga turut digerakkan di pelbagai peringkat termasuk melibatkan akar umbi dengan melaksanakan program dan aktiviti kebajikan.

"Program-program ini telah mendapat sambutan dan sokongan menggalakkan daripada ahli-ahli parti serta rakyat Selangor secara amnya," jelas kenyataan itu.

Artikel Berkaitan: