Polis sudah rekod keterangan Guan Eng

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

GEORGETOWN - Polis sudah merekod keterangan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berhubung dakwaan melanggar perintah kuarantin kendiri, minggu lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dipanggil pada 11 September lalu untuk membantu siasatan.

Mohd Shuhaily Mohd Zain
Mohd Shuhaily Mohd Zain

Menurutnya, siasatan masih dijalankan untuk mengetahui sama ada berlaku pelanggaran undang-undang atau sebaliknya.

"Kita sudah memanggil 10 saksi termasuk enam individu yang membuat laporan, seorang pegawai kesihatan daerah Timur Laut, Setiausaha Dewan Undangan Negeri, Mohd Roshidi Azmi dan pegawai kesihatan daerah Seberang Perai Utara.

"Kita masih menyiasat kes ini dan akan mengambil tindakan selepas semuanya selesai," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, polis mengesahkan telah membuka kertas siasatan terhadap Guan Eng selepas menerima beberapa laporan yang dibuat terhadapnya.

Sementara itu, minggu lalu Guan Eng menyangkal dakwaan bahawa beliau telah melanggar syarat kuarantin kendiri yang bermula 1 hingga 10 September.

Guan Eng berkata, beliau hanya diberitahu pada 2 September berhubung perkara itu setelah menghadiri Persidangan DUN Pulau Pinang, di sini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan turut menafikan bahawa beliau telah keluar secara terbuka untuk mengedarkan bungkusan makanan kepada pengundi di kawasannya pada 2, 4 dan 8 September.

Jelas Guan Eng lagi, beliau hanya berada di rumah untuk kuarantin kendiri setelah menghadiri Persidangan DUN Pulau Pinang pada 2 September dan kemudiannya diuji negatif.

Pada 8 September lalu, Pemuda Parti Gerakan Pulau Pinang membuat laporan polis terhadap Guan Eng kerana didakwa mengingkari peraturan kuarantin kendiri.

Sebelum itu, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dalam perbicaraan kes empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama, memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya itu telah diarah menjalani perintah kuarantin kendiri selama 10 hari bermula 1 hingga 10 September.