Terengganu disaran salur bantuan 'one-off' kepada B40, mahasiswa

Ahmad Razif
Ahmad Razif
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu disaran menyalurkan bantuan tunai secara 'one-off' kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan mahasiswa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, langkah itu perlu bagi membantu golongan berkenaan yang menjadi antara kumpulan terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Jika boleh, dalam tempoh pandemik ini tambahkan bantuan secara 'one-off' kepada golongan B40. Bantuan bersifat 'one-off' harus dipertimbangkan kerana Dana Raya sudah tidak ada, kalau ada pun sudah dikurangkan.

"Segerakan bantuan tunai kepada rakyat bagi membolehkan mereka yang kurang mampu untuk berbelanja seterusnya menyalurkan kepada ekonomi setempat," katanya ketika membahaskan titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman di sini pada Selasa.

Menurutnya, pemberian bantuan secara 'one-off' sebanyak RM300 dicadangkan kepada setiap mahasiswa dan mahasiswi anak Terengganu bagi menampung pembelian data internet.

"Kita sarankan bantuan secara 'on-off' melibatkan 40,000 orang pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) bagi membolehkan mereka membeli data internet selama enam bulan dengan nilai RM50 sebulan.

"Secara keseluruhan, jumlah peruntukan sebanyak RM12 juta. Pembelian data internet ini perlu dibuat di dalam kedai di Terengganu bagi membantu menjana ekonomi setempat.

"Di samping itu, pemberian baucar dan rebat untuk pelanggan hotel dan homestay berdaftar dilihat wajar bagi merancakkan kembali sektor pelancongan negeri, " katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahmad Razif turut mencadangkan supaya pembangunan infrastruktur baharu dikurangkan dalam tempoh negara berdepan keadaan sukar akibat pandemik.

"Kurangkan pembangunan infrastruktur baharu kerana saya yakin rakyat bersetuju bahawa infrastruktur di Terengganu kebanyakannya telah lengkap.

"Apa yang perlu dilaksanakan ialah melakukan pemulihan ekonomi dengan cepat dan meluas," katanya.