Pemberi pinjam wang tidak mengaku terima deposit tanpa lesen

T Harikumar (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa, atas tuduhan menerima wang deposit tanpa lesen antara 2018 hingga 2019 lalu. Foto: Sinar Harian/ Rosli Talib
T Harikumar (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa, atas tuduhan menerima wang deposit tanpa lesen antara 2018 hingga 2019 lalu. Foto: Sinar Harian/ Rosli Talib
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang pemberi pinjam wang (PPW) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas pertuduhan menerima wang deposit tanpa lesen antara 2018 hingga 2019 lalu.

T Harikumar, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Ahmad Kamar Jamaludin.

Mengikut pertuduhan, Harikumar didakwa melakukan kesalahan itu daripada seorang doktor pakar jantung berusia 59 tahun, tanpa lesen sah di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Kesalahan dilakukan di Jalan Abdullah Bangsar, Brickfields di sini antara 1 Ogos 2018 hingga 26 Februari 2019.

Atas pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 137(2) akta sama yang membawa hukuman denda RM50 juta atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selesai prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaludin mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin.

“Jumlah itu tidak keterlaluan kerana kesalahan yang dipertuduhkan adalah serius malah nilai yang dimaksudkan ialah RM999,500.

"Pihak kami tidak membantah sekiranya mahkamah meletakkan syarat tambahan kepada tertuduh," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Datuk C Vignesh Kumar Chellapah merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minima dengan alasan perlu menanggung keluarga termasuk ibunya yang berusia 75 tahun.

"Harikumar merupakan seorang ahli perniagaan namun Covid-19 ketika ini menyebabkan pendapatannya terjejas, seterusnya terpaksa mengharapkan pendapatan isteri sebagai ejen insurans.

"Walaupun dalam pertuduhan tidak dinyatakan amaun, namun menurut fakta, nilai yang dikatakan adalah lebih rendah, maka cadangan pihak pendakwaan supaya tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM100,000 adalah keterlaluan," katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Ahmad Kamar membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin dan dikenakan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Oktober depan.