Tak sempat seludup dadah bernilai RM1.95 juta ke Indonesia

Nurul Hizam (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas Zon Maritim Batu Pahat ketika operasi di perairan Muar pada Selasa.
Nurul Hizam (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas Zon Maritim Batu Pahat ketika operasi di perairan Muar pada Selasa.
A
A
A

BATU PAHAT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) menerusi Zon Maritim Batu Pahat berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar 39 kilogram (kg) dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM1.95 juta di perairan Muar di sini pada Selasa.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, aset Maritim yang sedang melaksanakan operasi penguatkuasaan mengesan sebuah bot gentian kaca pada kedudukan 1.6 batu nautika tenggara, Sungai Kesang Muar.

"Menyedari kehadiran bot ronda Maritim, dua suspek lelaki yang menaiki bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran itu bertindak melarikan diri ke dalam hutan bakau dan tiada tangkapan dibuat.

"Pemeriksaan lanjut ke atas bot gentian kaca terbabit telah menjumpai dua bagasi berwarna hitam mengandungi bungkusan teh Cina berwarna hijau disyaki dadah jenis syabu.

"Setiap bagasi berisi 19 bungkusan yang dianggarkan seberat satu kilogram. Jumlah keseluruhan bungkusan teh Cina yang disyaki dadah jenis syabu itu sebanyak 38 bungkus dengan berat keseluruhan dianggarkan 39 kg," katanya pada sidang akhbar di bilik mesyuarat Zon Maritim Batu Pahat di sini pada Selasa.

Beliau berkata, dadah yang dirampas itu dipercayai dibawa dari negeri utara Semenanjung untuk diseludup ke negara jiran Indonesia.

"Rampasan dadah bersama bot gentian kaca dan sebuah enjin 30 kuasa kuda dibawa ke Zon Maritim Batu Pahat dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Bermula Januari hingga September tahun ini, Maritim Johor berjaya menumpaskan lima sindiket penyeludupan dadah iaitu di perairan Muar dan perairan Pulai dengan anggaran keseluruhan dadah yang dirampas sebanyak 161kg bernilai RM6.05," katanya.

Artikel Berkaitan: