Majlis akad nikah dibenarkan di Selangor bermula Rabu

Majlis akad nikah dibenarkan di Selangor bermula pada Rabu.
Majlis akad nikah dibenarkan di Selangor bermula pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis akad nikah di Selangor dibenarkan berlangsung di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Pejabat Agama Islam Daerah dan masjid bermula Rabu.

JAIS menerusi kemaskini di laman Facebooknya berkata, majlis berkenaan boleh dilangsungkan setiap hari namun jumlah kehadiran adalah terhad kepada pasangan pengantin dan wali sahaja.

Katanya, individu lain tidak dibenarkan mengikuti majlis akad nikah berkenaan termasuk melibatkan juru gambar.

"Mereka yang telah lengkap vaksinasi berdasarkan kad atau sijil digital perlu mematuhi kriteria iaitu melepasi tempoh 14 hari dari tarikh suntikan kedua melibatkan vaksin jenis Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac.

"Bagi vaksin Johnson & Johnson dan CanSino pula adalah melepasi tempoh 28 hari," menurut kemaskini itu pada Selasa.

Selain itu, JAIS memaklumkan ujian saringan RT-PCR Covid-19 hanya diwajibkan kepada pasangan pengantin dan wali yang belum melengkapkan vaksinasi mereka.

Katanya, pihak terlibat juga wajib mematuhi arahan semasa oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan Selangor berkaitan langkah keselamatan yang ditetapkan.

"Jika terdapat pelanggaran terhadap ketetapan semasa, Ketua Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk atau Pegawai Tadbir Agama boleh menangguhkan atau membatalkan majlis akad nikah terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan tegas sewajarnya akan diambil jika terdapat mana-mana pihak yang didapati gagal mematuhi peraturan ditetapkan," katanya.