ATM patahkan cubaan seludup daun ketum

Suspek ditahan ATM bersama daun ketum. -Foto Ihsan ATM
Suspek ditahan ATM bersama daun ketum. -Foto Ihsan ATM
A
A
A

PADANG TERAP - Cubaan empat lelaki menyeludup daun ketum dipatahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pos Batu Persempadanan 34 (BP 34) dekat Durian Burung, di sini, kelmarin.

Panglima Enam Briged, Brigadier Jeneral Datuk Abdul Aziz Ismail berkata, empat lelaki termasuklah seorang warga Thailand berusia antara 17 hingga 35 tahun ditahan kira-kira-kira jam 1.20 petang.

Menurutnya, mereka ditahan hasil sekatan jalan dilakukan pasukan ronda lima Rejimen Sempadan (5RS) diketuai Leftenan Muda Tengku Ikramudin Tengku Zulkeplee.

"Dalam sekatan jalan itu, pasukan berkenaan menahan tiga buah motosikal dan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dinaiki mereka.

"Melalui pemeriksaan, pasukan berkenaan menemukan ikatan daun ketum dalam kenderaan tersebut dipercayai untuk diseludup ke negara jiran," katanya.

Beliau berkata, turut ditemui, wang tunai sebanyak RM 5,040.30 dan Baht 147,000 (RM18,914.82) yang dipercayai hasil urusan jual beli daun ketum.

Susulan itu, katanya, keempat suspek ditahan selepas mengaku bahawa urusan penyeludupan telah dilakukan oleh mereka melalui hasil soal siasatan dijalankan keatas mereka.

Artikel Berkaitan:

Salah seorang suspek bersama wang tunai dirampas. -Foto Ihsan ATM
Salah seorang suspek bersama wang tunai dirampas. -Foto Ihsan ATM

Abdul Aziz berkata, pasukan ronda terbabit turut merampas 86 kilogram (kg) daun ketum dianggarkan bernilai lebih RM8,000 yang disyaki cuba diseludup ke negara jiran.

Katanya, sebuah pacuan empat roda, tiga motosikal dan wang tunai yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM 110,625.15 dirampas dalam operasi itu.

Menurut Abdul Aziz, daun ketum berkenaan kini dijual dengan harga RM95 bagi setiap kilogram berbanding hanya RM90 pada tahun lepas.

Beliau berkata, penahanan empat suspek merupakan kes kedua tahun ini melibatkan penahanan penyeludup daun ketum di kawasan berkenaan.

"ATM telah menggagalkan cubaan 11 cubaan menyeludup bahan terlarang itu ke negara jiran pada tahun lepas, dan berkemungkinan harganya meningkat berikutan permintaan daun tinggi di Thailand dan risiko ditanggung mereka," katanya.

Abdul Aziz berkata, keempat suspek, wang tunai dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk tindakan lanjut.