20,000 penduduk Terengganu menganggur

Tengku Hassan pada Mesyuarat Pertama Penggal ke-4 Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 pada Selasa.
Tengku Hassan pada Mesyuarat Pertama Penggal ke-4 Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Seramai 20,000 atau 4.2 peratus penduduk di negeri Terengganu dilaporkan menganggur pada suku kedua tahun ini.

Exco Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar berkata, jumlah itu meningkat berbanding 4.1 peratus atau 19,800 orang pada tahun lalu.

Menurutnya, kadar pengangguran itu dikeluarkan Jabatan Statistik Malaysia dan antara punca peningkatan tersebut adalah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19.

“Kadar pengangguran negara pula pada tahun lepas adalah 4.55 peratus, manakala suku kedua tahun ini sebanyak 4.8 peratus,” katanya ketika menjawab soalan lisan dikemukakan Datuk Rozi Mamat (BN-Telemong) pada Mesyuarat Pertama Penggal ke-4 Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 pada Selasa.

Rozi bertanyakan mengenai golongan belia sering kali dikaitkan dengan pengangguran dan sejauh mana keberkesanan Pusat Pembangunan Sumber Manusia Negeri Terengganu (T-HRDC) dalam menangani isu pengangguran di negeri ini.

Tengku Hassan berkata, dalam menangani masalah pengangguran, kerajaan menubuhkan Urusetia Pekerjaan Negeri Terengganu (UPNT) yang bekerjasama dengan T-HRDC dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan keahlian sebanyak 30 jabatan, agensi, pusat latihan dan pemain industri.

Katanya, T-HRDC dan Perkeso telah mengadakan Karnival Penjana Kerjaya pada 3 hingga 4 April lalu dan menawarkan pekerjaan kepada 982 individu yang hadir pada karnival tersebut.

“Kita juga telah membuat susulan selepas program karnival ini dan sebanyak 25 sesi temuduga telah dilaksanakan dengan bantuan Perkeso.

Artikel Berkaitan:

“Sehingga 31 Julai lalu, jumlah mereka yang berjaya mendapat pekerjaan adalah seramai 4,811 dan daripada jumlah itu, 3,158 orang merupakan golongan belia atau mewakili 65.6 peratus,” katanya.