Longgokan sampah cemari Hutan Lipur Ulu Perdik

Longgokan sampah di Hutan Lipur Ulu Perdik yang ditinggalkan oleh pihak tidak bertanggungjawab. - Foto Ihsan Lyn Jamal
Longgokan sampah di Hutan Lipur Ulu Perdik yang ditinggalkan oleh pihak tidak bertanggungjawab. - Foto Ihsan Lyn Jamal
A
A
A

HULU LANGAT - Kesempatan cuti hujung minggu baru-baru ini pastinya digunakan sebaiknya oleh setiap pihak untuk berkunjung ke pusat rekreasi atau lokasi percutian susulan kelonggaran diberikan di negeri yang berada dalam fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Begitupun, dari satu sudut lain, kelonggaran yang diberikan ini juga sedikit sebanyak memberi kesan kepada alam sekitar apabila ada segelintir pihak tidak bertanggungjawab dilihat meninggalkan sisa sampah masing-masing secara sesuka hati selepas beriadah.

Menerusi perkongsian di laman Facebook Info Warga Hulu Langat pada Selasa, seorang netizen dikenali sebagai Azlin Shamsudin menceritakan tentang keadaan di Hutan Lipur Ulu Perdik, di sini, selepas dikunjungi orang ramai pada hujung minggu lalu.

Perkongsian status berserta gambar itu turut memaparkan keadaan longgokan sampah di beberapa lokasi hutan lipur berkenaan yang ditinggalkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Inilah hasilnya weekend (cuti hujung minggu) lepas yang buat sesak di Hulu Langat.

"Bila orang kampug minta duit parking, bising tapi bila tempat yang tak minta duit parking, korang tinggalkan bangkai kat sini pulak," kongsinya.

Sehingga jam 2 petang pada Selasa, status Azlin di laman berkenaan telah mendapat 286 perkongsian dan 263 komen daripada netizen yang rata-ratanya tidak berpuas hati dengan tindakan pihak terbabit.

Seorang netizen, Muqsit Affandi turut meluahkan kekecewaan apabila kawasan berkenaan dicemari oleh pihak tidak bertanggungjawab yang bertindak membuang sampah merata-rata.

Artikel Berkaitan:

"Pehh..Sedih tengok. Punya la elok orang Hulu Langat jaga, masuk orang luar yang tak ada adab, terus hancur semua," katanya.

Sementara itu, Ayda Baha pula mencadangkan agar pihak berkaitan dapat melantik pengawal bagi melakukan rondaan di kawasan berkenaan untuk menggelakkan insiden pencemaran berulang.

"Atau boleh perbanyakkan papan tanda larangan buang sampah dengan turut mewajibkan setiap pengunjung mengutip sampah di sana," katanya.