MoU tentukan usaha parti politik tangani krisis Covid-19

Koo Shiaw Lee
Koo Shiaw Lee
A
A
A

SHAH ALAM - Memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Persekutuan dan pembangkang dapat menentukan sejauh mana usaha parti politik di Malaysia mahu menangani krisis kesihatan, ekonomi dan politik.

Ketua Penerangan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Koo Shiaw Lee berkata, berpandukan enam perkara yang termaktub dalam MoU tersebut ia jelas membuktikan kerajaan pada hari ini ingin penyatuan sebenar politik.

"Sebenarnya kerjasama ini boleh meredakan perbalahan politik dan tumpuan boleh diberikan untuk negara berhadapan dengan lebih terperinci serta tersusun pandemik Covid-19.

"Gerakan sebagai salah satu komponen Perikatan Nasional menyokong penuh persefahaman ini kerana ia sememangnya membantu mengembalikan kehidupan rakyat dan ekonomi mikro serta makro," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada Isnin, kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) melakar sejarah apabila julung kali memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.

MoU dimeterai di bangunan Parlimen itu merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Shiaw Lee yang juga Naib Presiden Gerakan berkata, selain menjulang semangat Keluarga Malaysia, perkara tersebut juga selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu mewujudkan kestabilan politik.

"Kita tidak boleh kekal dengan pendekatan silo. Mesti buat rentas sempadan sebagai contoh menerusi sumbangan idea oleh pihak pembangkang, ia juga dapat mengelakkan ketegangan politik dan mewujudkan kebersamaan demi rakyat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai pro dan kontra hasil persefahaman ini, Shiaw Lee berpandangan ketika ini kerajaan mahupun pembangkang berdepan masalah sama iaitu soal kesihatan, ekonomi, politik, pendidikan dan nyawa rakyat.

Menurutnya, kerajaan sendiri harus melakukan perkara yang boleh diterima semua pihak dan memberi faedah kepada kehidupan rakyat serta negara.

"Bagi saya pemimpin politik harus patuh kepada perjanjian yang telah dimeterai dan fokus kepada enam perkara yang sudah termaktub itu selain mengelakkan daripada timbul isu pilih kasih.

"Kerajaan dan pembangkang harus menerima masalah secara bersama, jadi tidak timbul soal sembunyi fakta dan ketidakpuasan hati. Harus sepakat mencari penyelesain kepada masalah utama negara," katanya.