Sila log masuk terlebih dahulu.

Lebih 300 laporan ugutan sebar video lucah diterima: Polis Selangor

Nik Ezanee (tengah) sebagai panelis dalam program Bual Bicara di Facebook Live Polis Selangor pada Selasa.
Nik Ezanee (tengah) sebagai panelis dalam program Bual Bicara di Facebook Live Polis Selangor pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Selangor menerima lebih 300 laporan berhubung jenayah pemerasan atau ugutan menyebarkan video lucah di negeri ini sejak Januari hingga kini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, jumlah tersebut meningkat berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 50 laporan.

"Ada individu yang menggunakan teknologi ini bagi melakukan sesuatu jenayah seperti pemerasan berkaitan rakaman video lucah," katanya dalam program Bual Bicara di Facebook Live Polis Selangor pada Selasa.

Nik Ezanee berkata, ada pihak mengambil kesempatan menggunakan kelemahan diri mangsa iaitu nafsu untuk melakukan jenayah pemerasan.

"Mangsa menjadi ghairah apabila melayari aplikasi tertentu, kemudian pihak berkenaan merakam aksi lucah tersebut tanpa disedari mangsa," katanya.

Beliau berkata, mangsa akan diugut supaya membayar sejumlah wang atau mata wang kripto ke akaun tertentu, jika mangsa berdegil, rakaman aksi lucah itu akan ditularkan.

"Saya berharap orang ramai berhati-hati dengan perkara tersebut kerana sudah ramai yang menjadi mangsa," katanya.

Nik Ezanee berkata, ada juga segelintir individu merakam gambar atau aksi yang sangat peribadi.

Artikel Berkaitan:

"Kemudian telefon bimbit itu hilang atau ia dihantar ke kedai untuk baik pulih, selepas itu mangsa telah diugut kerana melakukan aksi yang memalukan itu," katanya.

Nik Ezanee menasihati orang ramai jangan merakam apa-apa aksi yang boleh mengaibkan diri sendiri.

"Jika kita tidak berhati-hati...kesilapan yang dilakukan pada hari ini akan memberi kesan pada masa hadapan," katanya.