X

Kindly register in order to view this article
!

SOP PPN akan dikurangkan daripada 181 kepada 10

Hishammuddin (tengah) pada sidang akhbar bersama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa pada Selasa.
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kerajaan sekarang sedang berusaha mengurangkan jumlah prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19 daripada 181 ketika ini kepada hanya 10 dalam masa terdekat.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, proses mengurangkan SOP itu dijangka mengambil masa sekitar dua hingga tiga minggu.

Menurutnya, SOP yang telah digunapakai selama lebih setahun itu diperkemaskan untuk lebih mudah difahami rakyat.

"Dalam dua tiga minggu ini kita akan muktamadkan untuk kurangkan SOP untuk dipermudahkan.

"Kita akan minta Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) untuk mengkoordinasi bagi menyediakan informasi tentang perkara ini," katanya pada sidang akhbar di Dewan Rakyat pada Selasa.

Turut serta dalam sidang akhbar itu ialah Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, pengurangan SOP itu merupakan salah satu agenda yang dibincangkan beliau bersama tiga menteri terbabit menerusi mesyuarat yang diadakan.

Menurutnya, mesyuarat itu diadakan dengan persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang bermesyuarat 2 September lalu.

Selain itu, beliau menegaskan, mesyuarat empat menteri itu juga telah mempersetujui kelonggaran-kelonggaran baharu kepada rakyat dan akan diumumkan Perdana Menteri dalam masa terdekat.

"Saya akan bawa keputusan perbincangan empat menteri ini kepada Perdana Menteri hari ini dan beliau akan menentukan masa tepat untuk mengumumkan kelonggaran selanjutnya," katanya.

Hishamuddin berlata, perkara yang turut dibincangkan adalah potensi pembukaan lebih banyak sektor di masa hadapan.

Katanya, contohnya bagi sektor pelancongan, inisiatif gelembung pelancongan di Langkawi akan akan menjadi projek rintis kepada pembukaan lebih banyak sektor.

"Paling penting yang kita bincangkan adalah tentang risiko apabila kita longgarkan dan ia berkait dengan fasa-fasa tertentu PPN (Pelan Pemulihan Negara).

"Bukan semudah itu, kalau boleh kita nak buat secara menyeluruh kelonggaran, tetapi itu tidak bertanggungjawab," katanya.

Namun katanya, pada masa sama, kerajaan mengambil keputusan di luar kotak dengan melaksanakan projek rintis gelembung pelancongan di Langkawi yang memberi kebenaran tempat itu dikunjungi rakyat dari semua negeri tanpa mengikut fasa PPN.

"Dasar yang kita lakukan untuk kesejahteraan rakyat bukan berkait ekonomi. Ia atas dasar pertimbangan kesihatan mental kerana kita sudah laksanakan 'lockdown' begitu lama," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!