X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 17 Mei 2022

Pembangunan Kampong Baru diteruskan secara organik

Kerajaan ketika ini sedang meneruskan pembangunan Kampong Bharu melalui pendekatan baharu iaitu pembangunan secara organik dan berfasa mengikut blok pembangunan.
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan ketika ini sedang meneruskan pembangunan Kampong Bharu melalui pendekatan baharu iaitu pembangunan secara organik dan berfasa mengikut blok pembangunan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pendekatan itu mempunyai kebolehlaksanaan yang tinggi dan buat masa ini sebanyak 44 blok pembangunan telah dikenalpasti.

"Menerusi pendekatan ini kerajaan tidak akan terlibat dalam pembelian tanah secara keseluruhan sebaliknya pembangunan Kampong Bharu secara usahasama antara pemaju dan pemilik tanah atau petak mengikut blok-blok pembangunan tersebut.

"Selaras dengan pendekatan baharu ini juga peruntukan kerajaan hanya akan digunakan bagi pembangunan infrastruktur melalui penaiktarafan jalan-jalan utama Kampong Baru dan akses keluar masuk ke kampung ini yang menjadi pemangkin kepada kepada pembangunan semula Kampong Bharu," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri bagi jawapan lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Khalid Samad (PH-Shah Alam) yang bertanya tentang status terkini cadangan pembangunan Kampong Bharu yang dirancang sama ada diteruskan atau sebaliknya.

Shahidan memberitahu, nilai hartanah yang ditawarkan kepada pemilik tanah bergantung kepada mekanisme pembangunan yang akan dilaksanakan mengikut kesesuaian pembangunan.

Menurutnya, pendekatan baharu ini dilaksanakan dalam tiga tempoh fasa pembangunan iaitu pembangunan jangka pendek 2021-2025, pembangunan jangka sederhana 2021-2034 dan pembangunan jangka panjang 2021-2040.

Beliau, pembangunan jangka pendek adalah dalam tempoh lima tahun yang melibatkan cadangan pembangunan melibatkan pembangunan semula kawasan Sungai Bharu, pembangunan semula flat PKNS Jalan Tun Razak, pembangunan infrastruktur yang melibatkan pelebaran dan penaiktarafan Jalan Raja Uda Kampong Bahru.

Katanya, ia turut membabitkan cadangan sambungan Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (DUKE) 2A dari Kampung Kuching ke Kampong Bharu Jalan Raja Muda Abdul Aziz, cadangan pembinaan akses keluar masuk Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) di Sungai Bharu dan pembangunan tapak kesihatan dengan pembangunan lebih ekonomik.

"Pembangunan jangka sederhana 2025-2034 melibatkan tempoh masa 10 tahun dan ditumpukan kepada pembangunan kediaman yang kompetitif di Kampung Periuk dan pembangunan blok yang berpotensi di Kampung Pindah.

"Pembangunan jangka panjang 2021-2040 melibatkan tempoh masa 20 tahun bagi mempromosikan dan membangunkan blok-blok pembangunan yang berpotensi dari semasa ke semasa bergantung kepada kesediaan pemaju," katanya.

Mengenai peruntukan pembangunan pula, Shahidan menjelaskan Perbadanan Kampong Bharu melalui Kementerian Wilayah Persekutuan telah membuat permohonan untuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sebanyak RM148 juta dan masih menunggu kelulusan Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Ujarnya, permohonan itu membabitkan pemindahan tanah di Kampung Pindah sebanyak RM100 juta sementara RM48 juta lagi untuk pengambilan tanah bagi pelebaran dan penaiktarafan Jalan Raja Uda.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!