PM Israel jumpa Presiden Mesir di Sharm el-Sheikh

Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi menerima kunjungan Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett (kiri) di Sharm el-Sheikh pada Isnin. - Foto AFP
Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi menerima kunjungan Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett (kiri) di Sharm el-Sheikh pada Isnin. - Foto AFP
A
A
A

KAHERAH - Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett bertemu dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi pada Isnin yang merupakan lawatan pertama daripada seorang pemimpin negara haram itu ke negara di Afrika Utara sejak tahun 2011.

Pertemuan itu diadakan di sebuah resort peranginan di Sharm el-Sheikh, tepi Laut Merah.

Kedua-duanya membincangkan tentang usaha untuk memulihkan proses keamanan antara Israel dengan Palestin, kata jurucakap Presiden Mesir, Bassam Radi.

Kerjasama keselamatan turut dibincangkan antara kedua-dua buah negara dalam pertemuan tersebut.

Ketua Perisikan Mesir, Abbas Kamel dan Penasihat Keselamatan Kebangsaan Israel, Eyal Holata turut hadir pada pertemuan itu.

Satu kenyataan daripada pejabat Bennett turut memuji peranan Mesir dalam membawa keselamatan ke Genting Gaza.

Pada bulan Mei lalu, Mesir memainkan peranan penting apabila menjadi perantara sehingga berlakunya gencatan senjata antara Hamas dengan Israel selepas 11 hari rejim Zionis bertempur dengan pergerakan Hamas itu.

Bennett memegang jawatan Perdana Menteri pada Jun lalu sekali gus menamatkan pemerintahan Benjamin Netanyahu yang memegang jawatan itu selama 12 tahun berturut-turut di Israel.

Artikel Berkaitan:

Pertemuan terakhir yang diadakan sebelum ini adalah pada Januari 2011 apabila Presiden Mesir ketika itu, Hosni Mubarak menerima kunjungan Netanyahu.

Mesir merupakan negara Liga Arab pertama memeterai perjanjian keamanan dengan Israel iaitu pada tahun 1979. - Agensi