Hakisan punca paip dasar Sungai Terengganu pecah

Dr Mamad Puteh
Dr Mamad Puteh
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kejadian paip pecah di dasar Sungai Terengganu sehingga menjejaskan 28,700 akaun pengguna berpunca daripada paip tersebut hilang sokongan selepas kawasan terbabit mengalami hakisan sejauh 80 meter.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, kehilangan sokongan di dasar sungai menyebabkan paip tersebut tergantung pada jarak kira-kira 80 meter dan patah.

“Projek paip ini dilaksanakan pada tahun 2003 dan siap 2006, pada ketika itu paip ini ditanam sedalam antara 1.5 hingga 2 meter, bagaimanapun selepas siasatan dilakukan pada tahun ini, kawasan itu sudah terhakis sejauh 80 meter,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Hishamuddin Abdul Karim (Pas-Tepuh) mengenai laporan kebocoran paip air di dasar Sungai Terengganu awal Ogos lalu pada Mesyuarat Pertama Penggal ke-4 Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mamad berkata, sebanyak 12 pengusaha pasir telah diluluskan melakukan kerja-kerja mengorek pasir pada jarak lima kilometer dari kawasan berkenaan sejak 10 tahun lalu dan daripada jumlah itu, tujuh pengusaha masih aktif manakala lima lagi sudah menghentikan operasi mereka.

Bagaimanapun beliau berkata, ketika permohonan menyedut pasir dibuat dan diluluskan, tiada makluman daripada mana-mana agensi kerajaan yang mengatakan bahawa terdapat paip air ditanam di kawasan berkenaan.

“Apabila ada permohonan tanah atau urusan pasir, ada ulasan dari agensi-agensi kerajaan tetapi pada waktu itu tidak ada satu pun agensi yang menyatakan di sana ada paip, seolah-olah tidak wujud paip air di dasar sungai, itu yang menjadi masalah,” katanya.

Ketika ditemui pemberita di luar dewan, Mamad memberitahu kerajaan bercadang untuk memperkasakan fungsi Jabatan Bekalan Air (JBA) supaya masalah sama tidak berulang pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, JBA diminta untuk menyimpan maklumat semua paip yang ada di dasar Sungai Terengganu dan aset kerajaan lain dalam satu sistem sebagai rujukan apabila ada permohonan atau projek yang hendak dijalankan di satu-satu kawasan.

“Bagi peringkat daerah pula khususnya yang ada sungai, kita akan wujudkan satu unit diketuai pegawai daerah bagi memantau semua aktiviti korek pasir dan perusahaan pasir dari masa ke masa,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan berlaku gangguan bekalan air melibatkan 28,700 akaun pengguna di daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu pada 2 Ogos akibat paip pecah di dasar Sungai Terengganu namun bekalan air bersih berjaya dipulihkan secara berperingkat pada 13 Ogos lalu.

Bagaimanapun selepas 10 hari siap dibaiki, paip bersaiz 1,200 milimeter (mm) di dasar Sungai Terengganu dilaporkan pecah sekali lagi dan kerja baik pulih dijangka mengambil masa 20 hari.