Kemasukan pelajar ke kampus IPT berperingkat bermula 15 Oktober

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Seramai 1.2 juta pelajar institut pengajian tinggi (IPT) bakal kembali ke kampus secara berperingkat mulai 15 Oktober depan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, keputusan itu melibatkan semua kategori pelajar dan Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Keutamaan diberikan kepada pelajar berkeperluan," katanya dalam ucapan pengumuman pengoperasian IPT pada Selasa.

Menurutnya, pergerakan pelajar IPT di Semenanjung hanya memerlukan surat kebenaran kembali ke kampus.

"Bagi IPT di Sarawak, Sabah dan Labuan, adalah tertakluk kepada SOP yang dikuatkuasakan oleh kerajaan negeri masing-masing.

"Pelajar perlu mendapatkan surat kebenaran rentas daerah dan negeri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menjalani ujian RT-PCR secara percuma di klinik kesihatan kerajaan," katanya.

Beliau berkata, hanya pelajar, staf akademik dan bukan akademik yang telah mendapat suntikan dos vaksin lengkap dan melepasi tempoh keberkesanan selepas divaksin dibenarkan masuk ke kampus.

"Ini merupakan satu langkah bagi membentuk persekitaran yang selamat dan imuniti kelompok di kampus," katanya.

Artikel Berkaitan:

Noraini berkata, pelajar yang tidak boleh divaksin atas faktor kesihatan perlu menghubungi IPT masing-masing untuk penyelarasan.

"Keberadaan warga IPT yang telah lengkap divaksin akan membentuk komuniti sosial yang selamat serta mewujudkan persekitaran Fasa Empat PPN di dalam kampus.

"Jadinya, SOP yang ketat perlu diamalkan bagi menguruskan pergerakan keluar dan masuk," katanya.

Menyentuh mengenai kemasukan pelajar antarabangsa, beliau berkata, pelajar warga United Kingdom (UK), pelajar yang mengikuti program mobiliti dan edutourism turut dibenarkan kembali.

"Tanggungan sah bagi pelajar antarabangsa yang berhasrat membawa keluarga bersama ke negara ini juga dibenarkan," katanya.

Selain perlu melengkapkan vaksinasi, ujarnya, pelajar antarabangsa perlu mendaftar dengan Education Malaysia Global Services (EMGS) sebelum diberikan kebenaran masuk ke Malaysia oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

"Ujian RT-PCR Covid-19 perlu dijalankan tiga hari sebelum masuk ke Malaysia," katanya.

Sebaik tiba, Noraini berkata, mereka akan menjalani saringan kesihatan dan perlu dikuarantin di lokasi yang telah ditetapkan.

Sementara itu beliau berkata, proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) akan dilaksanakan secara hibrid.

"Bagi kursus atau program yang dijalankan secara dalam talian, pelajar boleh memilih untuk meneruskan PdP secara dalam talian di lokaliti masing-masing.

"Aktiviti-aktiviti melibatkan makmal, bengkel, studio dan penyelidikan boleh dijalankan secara berkumpulan, berpandukan SOP yang ditetapkan.

Dalam ucapan sama yang disiarkan menerusi laman Facebook Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Noraini turut mengumumkan pengurangan yuran sebanyak 20 peratus kepada semua pelajar warganegara di universiti awam (UA) bagi Semester 1 Sesi 2021/2022.

"Seramai 555,340 pelajar dengan nilai keseluruhan RM175 juta menikmati manfaat ini," katanya.