Pandu Myvi lawan arus: Ejen insurans dijel tiga hari, denda RM8,000

Pemandu Perodua Myvi kelabu yang memandu melawan arus di Lebuhraya Maju Expressway dikenakan hukuman penjara tiga hari dan denda RM8,000. - Foto JSPT Kuala Lumpur
Pemandu Perodua Myvi kelabu yang memandu melawan arus di Lebuhraya Maju Expressway dikenakan hukuman penjara tiga hari dan denda RM8,000. - Foto JSPT Kuala Lumpur
A
A
A

KUALA LUMPUR- Pemandu Perodua Myvi kelabu yang memandu melawan arus di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) pada 4 September lalu dikenakan hukuman penjara tiga hari dan denda RM8,000 pada Selasa.

Hukuman ke atas kesalahan dilakukan juga telah dimasukkan ke lesen pemandu, menyebabkan lelaki berusia 24 tahun itu hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen dalam tempoh lima tahun dari tarikh sabitan.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, selepas tertuduh dibawa ke Mahkamah Trafik Jalan Duta pada Selasa.

"Lelaki berkenaan yang bekerja sebagai ejen insuran itu dituduh di bawah Seksyen 42(1)1987 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) kerana memandu secara melulu dan merbahaya.

"Hasil pertuduhan, pemandu kenderaan motokar tersebut mengaku bersalah dan dikenakan hukuman penjara selama tiga hari dan denda RM8,000.

"Sekiranya gagal untuk membayar denda, dia akan dipenjara selama 6 bulan," kata Sarifudin dalam satu kenyataan.

Pada 4 September lalu, seorang pemandu Perodua Myvi memandu melawan arus di MEX, menghala ke Putrajaya, menyebabkan kemalangan sebuah kereta lain yang cuba mengelak. - Awani

Artikel Berkaitan: