Kapten futsal wanita tekad cipta keajaiban di Palestin

Steffi Sarge Kaur (tengah) ketika aksi menentang Thailand di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur pada 2017 lalu. - Foto Bernama
Steffi Sarge Kaur (tengah) ketika aksi menentang Thailand di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur pada 2017 lalu. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Ratu futsal negara, Steffi Sarge Kaur Sergeant Singh teruja untuk membalas kepercayaan diberi dengan membantu skuad bola sepak negara mencipta keajaiban, pada saingan kelayakan Piala Asia Wanita 2022 di Palestin, tidak lama lagi.

Steffi, 33, anak kelahiran Taiping itu dipilih sebagai kapten, dalam senarai 23 pemain yang diberi tanggungjawab menggalas cabaran negara menentang Thailand dan Palestin, dalam saingan Kumpulan H di Stadium Antarabangsa Faisal Al-Husseini pada 19 dan 22 September ini.

“Secara jujurnya, kekurangan latihan antara cabaran kami untuk membuat persiapan sebaiknya. Tapi kami perlu bersedia juga dari segi mental ketika di Palestin nanti,” katanya yang boleh bermain sebagai penyerang, pemain tengah dan pertahanan, kepada Bernama baru-baru ini.

Kariernya bermula apabila mewakili negara pada di Sukan SEA Thailand 2007 sebagai pemain bola sepak dan mewakili skuad negara sebagai pemain futsal di Sukan SEA Myanmar 2013, yang akhirnya meraih gangsa.

Beliau turut membuat kemunculan yang sama di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selain mewakili negara pada FootGolf Asia Cup, Australia dua tahun kemudiannya.

“Harapan saya kali ini adalah untuk melakukan yang terbaik. Kita perlu bersikap positif walaupun dengan latihan singkat. Matlamat saya adalah melakukan yang terbaik dan berharap pasukan kami dapat mencapai sesuatu di Palestin nanti,” katanya yang telah berlepas bersama pasukan negara ke Palestin pada Isnin (semalam).

Pusingan akhir Piala Asia Wanita 2022 dijadualkan berlangsung 20 Jan hingga 6 Feb di India. - Bernama

Artikel Berkaitan: