MM2H: Hanya peserta berkualiti dipilih

Hamzah Zainudin
Hamzah Zainudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan menambah baik syarat-syarat penyertaan bagi Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) bagi memastikan peserta hanya terdiri daripada mereka yang berkualiti dan dapat menyumbang dalam menjana ekonomi negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, syarat itu termasuklah keperluan pemilikan akaun simpanan tetap sekurang-kurangnya RM1 juta.

Katanya, kerajaan juga penetapkan pengeluaran maksimum sebanyak 50 peratus dibenarkan ke atas nilai prinsipal simpanan bagi tujuan pembelian hartanah, kesihatan dan pendidikan anak-anak.

"Pengisytiharan aset cair (peserta) mesti sekurang-kurangnya RM1.5 juta.

"Pendapatan luar negara pula mesti sekurang-kurang RM40,000 sebulan," katanya menerusi sesi pertanyaan menteri-menteri di sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan akan menyemak semula program MM2H berikutan rungutan komuniti MM2H dan industri ekonomi berkaitan terhadap syarat-syarat baru yang amat ketat.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, bagaimanapun, pemegang MM2H sedia ada dipertimbangkan kelonggaran daripada memenuhi dasar bahatu tersebut.

Katanya, dasar itu hanya perlu dipenuhi oleh peserta-peserta baharu program berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Hon Wai turut bertanya mengapa kerajaan melaksanakan konsep Satu Negara, Dua Sistem iaitu negeri Sarawak mempunyai dasar MM2H yang liberal berbanding kerajaan Persekutuan.

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut memberitahu, berlaku perbezaan polisi program MM2H dan peraturan Imigresen antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak disebabkan kedua-dua negeri itu mempunyai peruntukan istimewa.

Ujar beliau, ia seperti yang digariskan Seksyen 64 dan 65 Akta Imigresen 1959/1963 yang menyatakan kemasukan warga asing dam tempoh keberadaan warga asing di kedua-dua negeri itu.

"Justeru, kerajaan Sabah dan Sarawak boleh menyesuaikan syarat penyertaan program ini bagi tujuan mengeluarkan pas lawatan sosial.

"Bagaimanapun, saya akan duduk bersama Sabah dan Sarawak untuk membincangkan tentang program ini bagi menyesuaikannya di seluruh negara supaya tak timbul lagi dua syarat berbeza antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak," katanya.