MADA selenggara saliran air elak padi tenggelam

Laporan Sinar Harian pada 12 September lalu. Kerja-kerja pembersihan saluran Parit Pida 16 Lama di Jerlun dilakukan segera oleh MADA bagi mengatasi masalah saliran tersumbat untuk mengelakkan padi petani tenggelam ketika cuaca hujan dan ribut.
Laporan Sinar Harian pada 12 September lalu. Kerja-kerja pembersihan saluran Parit Pida 16 Lama di Jerlun dilakukan segera oleh MADA bagi mengatasi masalah saliran tersumbat untuk mengelakkan padi petani tenggelam ketika cuaca hujan dan ribut.
A
A
A

ALOR SETAR - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mengambil langkah segera membersihkan saluran Parit Pida 16 Lama di Jerlun bagi menyelenggara saliran yang tersumbat untuk mengelakkan padi petani tenggelam ketika cuaca hujan dan ribut.

Timbalan Pengurus Besar (Teknikal) MADA, Nik Kun Nik Man berkata, saluran parit tersebut berada di dalam Blok Pengairan LBRBD 10 dengan keluasan 619 hektar di bawah seliaan Lokaliti C-Il MADA Kerpan, Wilayah II MADA Jitra.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati saluran Parit Pida 16 Lama tersebut dengan panjang keseluruhan 1,700 meter telah dipenuhi tumbuhan dan semak yang menyebabkan saliran air keluar daripada sawah terganggu.

"Hujan lebat dan angin kencang pada 9 September lalu telah menyebabkan tanaman padi Musim 1/2021 seluas 5.46 hektar pada peringkat masak dalam Blok Pengairan LBRBD 10 telah rebah termasuk kawasan Matang Kerengga iaitu kawasan sawah pengadu," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Sinar Harian pada Ahad berhubung rayuan kira-kira 20 pesawah di Kampung Permatang Kerengga agar MADA segera menyelenggara saliran yang tersumbat bagi mengelakkan padi mereka tenggelam ketika cuaca hujan dan ribut.

Nik Kun berkata, tindakan pembersihan saluran Parit Pida 16 Lama telah dilaksanakan oleh pihaknya pada pertengahan Mac hingga April 2021.

Bagaimanapun, pengurangan pusingan pembersihan saluran secara berkala daripada empat pusingan setahun kepada dua pusingan setahun turut menyumbang kepada masalah tumbuhan dan semak dalam saluran tersebut.

"Sebagai makluman kerja-kerja pembersihan bagi pusingan kedua untuk saluran ini telah dijadual akan dilaksanakan bermula 15 September 2021 ini. Namun MADA telah mengatur kerja-kerja pembersihan saluran air berkenaan melalui jentera jabatan pada 13 September 2021 bagi membantu menyelesaikan aduan ini.

Artikel Berkaitan:

"Pihak MADA telah menghubungi pengadu bagi memaklumkan tindakan kerja tersebut," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN:Pesawah rayu MADA selenggara saliran air