MoU kerajaan, PH petanda positif kestabilan ekonomi Malaysia

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persefahaman yang telah dicapai antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik bakal beri impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negara pada suku keempat 2021 dan seterusnya bagi tahun 2022.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kestabilan politik akan menyumbang kepada persekitaran yang lebih stabil dan kondusif untuk perkembangan sektor pelaburan, pasaran modal dan ekonomi negara.

“Secara keseluruhannya, pelaksanaan pakej rangsangan, pembukaan semula ekonomi dan struktur ekonomi Malaysia yang pelbagai telah berjaya mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 16.1 peratus bagi suku kedua 2021.

“Kementerian Kewangan yakin bahawa persefahaman politik yang baharu dimeterai semalam akan terus mendokong asas pemulihan ekonomi dan unjuran pertumbuhan KDNK 3.0 peratus hingga 4.0 peratus bagi tahun 2021,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Malaysia catat sejarah: Kerajaan, pembangkang tandatangani MoU

Memorandum itu ditandatangani Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama ketua-ketua parti PH di bangunan Parlimen di sini pada Isnin.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan meningkatkan had siling Kumpulan Wang Covid-19 sekiranya perlu bagi terus menyokong rakyat dan perniagaan yang memerlukan bantuan.

Beliau berkata, Majlis Jemaah Menteri pada 10 September telah meluluskan cadangan untuk membentangkan pindaan Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019) [Akta KWC].

Ini termasuk meningkatkan had siling Kumpulan Wang Covid-19 daripada RM65 bilion kepada RM110 bilion dan menaikkan had statutori hutang Kerajaan Persekutuan daripada 60 peratus kepada 65 peratus KDNK, jelasnya.

Artikel Berkaitan:

“Pindaan Rang Undang-undang (RUU) tersebut akan dibentangkan untuk kelulusan Dewan Rakyat pada bulan Oktober ini," tambah Tengku Zafrul.

Ia bertujuan antara lain mengukuhkan sistem kesihatan awam terutamanya bagi membendung penularan pandemik Covid-19 serta merawat pesakit Covid-19; menambah baik bantuan tunai langsung kepada rakyat; dan menyokong kelangsungan perniagaan, terutamanya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta PKS mikro.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, Kementerian Kewangan telah mengarahkan institusi perbankan untuk mengusahakan pengecualian bayaran faedah bagi penerima moratorium pinjaman bank dengan segera.

Ia melibatkan penerima moratorium dari kumpulan 50 peratus terbawah daripada keseluruhan rakyat Malaysia untuk sepanjang tempoh tiga bulan pada suku keempat 2021.

“Kita telah membuktikan keberkesanan vaksin dalam membolehkan pembukaan lebih banyak sektor-sektor ekonomi,” tambah beliau.

Tengku Zafrul turut berkata, melalui Bajet 2022, Kementerian Kewangan akan berusaha mempercepatkan pemulihan ekonomi menerusi penggubalan dasar-dasar yang mesra perniagaan dan pelaburan, serta meningkatkan lagi daya tahan negara.

“Bajet 2022 juga akan menerapkan beberapa aspek penyusunan semula yang akan menyokong objektif Rancangan Malaysia Ke-12 dalam memacu pertumbuhan yang lebih lestari, mampan dan berdaya saing,” tambah menteri kewangan itu. - Bernama