Ringgit dibuka kukuh selepas pemeteraian MoU dwipartisan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ringgit meningkat semula daripada penurunan pada Isnin untuk dibuka kukuh pada Selasa selepas pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Transformasi dan Kestabilan Politik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan ketua-ketua parti komponen Pakatan Harapan pada Isnin.

Prestasi ringgit yang positif itu turut didorong oleh harga minyak mentah yang tinggi selepas Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mengunjurkan permintaan terhadap komoditi itu akan kukuh berikutan peningkatan penggunaan bahan api tersebut dan gangguan pengeluaran di Amerika Syarikat (AS).

Pada jam 9 pagi, unit tempatan kukuh pada 4.1450/1500 berbanding dolar AS daripada 4.1490/1515 semasa ditutup pada Isnin.

Bagaimanapun, prestasi unit tempatan dihadkan oleh jangkaan Indeks Harga Pengguna (IHP) pada Ogos di AS yang tinggi, yang dijadualkan akan dikeluarkan hari ini.

Ramai penganalisis telah menyatakan kebimbangan bahawa kenaikan data IHP akan menyebabkan pengurangan pembelian aset yang lebih cepat oleh Rizab Persekutuan AS (Fed AS).

Merujuk kenyataan Goldman Sachs yang dikeluarkan pada Isnin, peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata bank pelaburan itu menyaksikan peluang sebanyak 70 peratus bahawa Fed AS akan mengumumkan proses pengurangan pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada November.

“Pelabur telah menjangka kemungkinan proses pengurangan dan ini menyebabkan dolar meningkat berbanding ringgit.

“Dari aspek teknikal, dolar AS-ringgit boleh meningkat setinggi 4.2200 dalam tempoh beberapa hari,” katanya kepada Bernama.

Artikel Berkaitan:

Pada pembukaan, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0875/0915 daripada 3.0903/0926 semasa ditutup pada Isnin dan meningkat berbanding yen kepada 3.7668/7714 daripada 3.7681/7703 pada Isnin.

Berbanding pound, mata wang tempatan susut kepada 5.7363/7432 daripada 5.7356/7390 sebelum ini manakala berbanding euro, ia merosot kepada 4.8944/9003 daripada 4.8921/8950 pada Isnin. - Bernama