Lima beranak sesak nafas terhidu gas bocor dalam kereta

Hazmat membuat pemeriksaan pada kereta dinaiki mangsa. Foto ihsan Bomba
Hazmat membuat pemeriksaan pada kereta dinaiki mangsa. Foto ihsan Bomba
A
A
A

SEREMBAN - Lima beranak mengalami sesak nafas dan pedih mata selepas dipercayai berlaku kebocoran gas pada kereta yang dinaiki mereka di persimpangan lampu isyarat di Jalan Seremban-Tampin dekat Kawasan Perindustrian Ringan Senawang pada Isnin.

Ketua Balai Bomba Senawang, Pegawai Kanan Penguasa Bomba, Mohd Hidayat Basly berkata, pihaknya menerima maklumat jam 6.35 petang dan bergegas ke lokasi dengan turut dibantu oleh Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat).

"Sebaik sampai, didapati keluarga terbabit yang terdiri iaitu suami isteri berusia 33 tahun dan 30 tahun serta anak mereka berusia empat, enam dan lapan tahun telah keluar dari kereta dinaiki.

"Pasukan Khas Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) telah membawa kesemua mangsa ke Hospital Tuanku Jaafar untuk pemeriksaan lanjut selepas mereka didapati mengalami sesak nafas dan pedih mata," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, berlaku kebocoran gas pada kenderaan tersebut sebelum gas karbon monoksida memasuki kereta.

Ujarnya, pasukan Hazmat telah membuat pengesanan gas di dalam kereta dan kawasan sekitar sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.46 malam Isnin.

Artikel Berkaitan: