Varian Delta, Beta menular hampir seluruh daerah di Terengganu

Infografik penularan varian Delta dan Beta yang dikongsi di laman facebook rasmi JKNT.
Infografik penularan varian Delta dan Beta yang dikongsi di laman facebook rasmi JKNT.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menyeru orang ramai supaya lebih berwaspada susulan penularan 21 kes varian membimbangkan (VOC) membabitkan 12 kes varian Delta (B.1.617.2) dan sembilan kes varian Beta (B.1.351) yang dipercayai menular hampir ke semua daerah di negeri ini.

JKNT melalui satu kenyataan di laman Facebooknya pada Isnin memaklumkan, setakat ini hanya daerah Kuala Nerus belum merekodkan kes varian VOC.

"Terkini, Terengganu telah melaporkan sebanyak 21 kes VOC yang melibatkan 12 kes delta dan sembilan kes beta dengan lima kes di Hulu Terengganu, Kuala Terengganu (empat), Besut (empat), Marang (tiga), Kemaman (dua), Dungun (dua) dan Setiu (satu).

"Besar kemungkinan varian berkenaan telah menular dengan meluas dalam komuniti di semua daerah dengan sekurang-kurangnya satu jenis VOC dilaporkan di seluruh daerah kecuali daerah Kuala Nerus," jelas kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, katanya setiap masyarakat mengambil serius terhadap penularan tersebut.

"Fakta yang sangat penting dan perlu diambil serius oleh setiap rakyat Terengganu adalah kadar kebolehjangkitannya yang tinggi dan sifatnya yang sentiasa berubah-ubah.

"Walaupun individu telah mengambil vaksin, mereka masih belum kebal sepenuhnya. Jangan leka kerana anda masih perlu mengekalkan pemakaian pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal di mana jua anda berada," katanya.

Dalam pada itu, katanya, pengambilan vaksin akan dapat membendung seseorang itu daripada mendapat jangkitan Covid-19 yang lebih teruk.

Artikel Berkaitan:

Katanya, JKNT akan terus memantapkan aktiviti kawalan seperti memperbanyakkan ujian saringan Covid-19, melakukan pengesanan kontak rapat dan pengasingan kes serta langkah kesihatan awam lain bagi membendung penularan varian itu dalam komuniti.

"Orang ramai diminta mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) pada tahap tinggi terutama melibatkan penjarakan fizikal bagi mengekang penularan virus berkenaan.

"Selain itu, sentiasa mengamalkan penjagaan kebersihan tangan dan diri serta langkah kesihatan lain bagi membendung penularan varian ini dalam komuniti," katanya.