Tiga pasangan kekasih buat 'private party' di inap desa dicekup

Kesemua pasangan kekasih itu ditahan di sebuah homestay di Tengkera pada Isnin.
Kesemua pasangan kekasih itu ditahan di sebuah homestay di Tengkera pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Keseronokan tiga pasangan kekasih mengadakan 'private party' tidak berpanjangan apabila mereka ditahan polis di sebuah inap desa mewah di Taman Kota Shahbandar, Tengkera di sini pada Isnin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintenden Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kesemua mereka yang ditahan dalam operasi jam 12 tengah hari itu berusia antara 21 hingga 26 tahun dan menetap di negeri ini.

Menurutnya, pemeriksaan yang dijalankan pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di inap desa tiga tingkat tersebut turut merampas beberapa peralatan dan barangan bagi tujuan 'private party.'

"Siasatan awal mendapati ketiga-tiga pasangan iaitu tiga lelaki dan tiga perempuan menyewa 'homestay' mewah itu dengan kadar RM400 semalam sejak Sabtu lalu.

"Saringan air kencing mendapati lima daripada enam individu positif dadah jenis methamphetamine," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut beliau berkata, kesemua individu yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat Tempat Hiburan (EHDTTH) selain dikompaun RM2,000 seorang di bawah perkara 16 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

"Individu positif dadah turut disiasat di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.

Jelas beliau, bermula awal tahun hingga Ogos lalu, sebanyak 19 serbuan tempat hiburan di sekitar daerah Melaka telah dilakukan.

Artikel Berkaitan: