Kit ujian kendiri bergantung kewangan sekolah: PIBGN

 Kesediaan PIBGN membantu Kementerian Pendidikan untuk membekalkan kit ujian kendiri Covid-19 perlu bergantung pada kedudukan kewangan sekolah masing-masing.
Kesediaan PIBGN membantu Kementerian Pendidikan untuk membekalkan kit ujian kendiri Covid-19 perlu bergantung pada kedudukan kewangan sekolah masing-masing.
A
A
A

SHAH ALAM - Kesediaan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) membantu Kementerian Pendidikan untuk membekalkan kit ujian kendiri Covid-19 perlu bergantung pada kedudukan kewangan sekolah masing-masing.

Presiden PIBGN, Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, kebanyakan sekolah di bandar dan asrama penuh biasanya tidak ada halangan untuk menyalurkan dana bagi tujuan kemajuan serta kebajikan termasuk kesihatan pelajar.

“Sekolah di pedalaman atau luar bandar pula tentunya berhalangan untuk membekalkan kit ujian di sekolah melainkan ada sokongan dana luar atau pihak yang ingin membantu.

“Jadi, saya mencadangkan agar PIBGN berganding bahu dengan Persatuan Murid Tua atau bekas pelajar sekolah masing-masing bagi mendapatkan dana untuk menyediakan kit ujian tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 19, Datuk Azizi Abd Hamid berpendapat, urusan pencarian dana untuk membekalkan kit ujian Covid-19 di sekolah merupakan isu yang subjektif.

Katanya, kos bagi mendapatkan bekalan kit ujian juga tinggi dan terdapat sesetengah sekolah yang kekurangan dana disebabkan sudah lama tidak dibuka.

“Jadi dalam keadaan ekonomi sekarang, agak sukar dan sensitif hendak minta sumbangan ibu bapa untuk disalurkan kepada pihak sekolah.

“Bagi saya, jika PIBG bantu serba sedikit, insya-ALLAH boleh,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian, Profesor Madya Dr Mohamed Saat Ismail berkata, kit ujian tersebut merupakan keperluan penting apabila pelajar mula kembali ke sekolah.

“Saya rasa tidak ada masalah untuk bantu menyediakan kit ujian di sekolah kerana ia merupakan satu mekanisme sebagai persediaan mengawal penularan Covid-19 dengan lebih pantas.

“Kita boleh ikhtiar. Dari segi duit, insya-ALLAH kita akan cuba semampu mungkin supaya tidak timbul masalah,” katanya.