X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

MoU kerajaan-pembangkang mampu pulih ekonomi

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (kiri) berbual bersama Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun (tengah) dan Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook (kanan) pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Transformasi Dan Kestabilan Politik Di Antara Kerajaan Persekutuan Dan Pakatan Harapan di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Keharmonian politik yang dimanifestasikan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang bersejarah antara kerajaan Persekutuan dan blok pembangkang Pakatan Harapan (PH) dijangka merangsangkan keyakinan ekonomi dan meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia, kata penganalisis.

Ketua Pakar Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed berkata, pelabur kembali memasuki pasaran Malaysia, didorong kestabilan politik dan komitmen kerajaan untuk meletakkan ekonomi di landasan pertumbuhan.

“Kerajaan Persekutuan komited sepenuhnya terhadap kestabilan makroekonomi untuk pertumbuhan yang mendorong kemajuan ekonomi di negara ini. Langkah ini memberi manfaat kepada seluruh masyarakat serta pihak di peringkat makro,” katanya kepada Bernama.

Kerajaan Persekutuan dan PH pada Isnin melakar sejarah negara apabila buat pertama kali menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, memorandum berkenaan yang membentuk satu kerjasama dwipartisan dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia dan selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah.

Beliau berkata, kerajaan yakin memorandum persefahaman yang dizahirkan ini bukan sahaja berupaya mengetepikan segala perbezaan politik bahkan mampu memastikan pemulihan negara berjalan secara holistik dan inklusif.

Transformasi yang diperkenalkan kerajaan ini bukan sahaja mendorong kepada tadbir urus yang cemerlang dalam memerangi Covid-19 dan pemulihan ekonomi, bahkan memangkin iklim pelaburan kondusif sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang kukuh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia, katanya.

Pensyarah di Sekolah Perniagaan Putra, Profesor Madya Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat, MoU itu akan memberi isyarat yang tepat kepada peserta industri dan pelabur mengenai kestabilan politik negara.

“Tindakan ini telah meningkatkan keyakinan bahawa dasar sedia ada akan terus dilaksanakan, di samping penetapan strategi dan rancangan baharu di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dan Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, dengan persekitaran politik yang stabil, pelabur asing baharu yang mengintai peluang akan mempertimbangkan secara serius peluang mereka untuk menanam modal di Malaysia.

Pelabur sedia ada akan terus memperkukuh pelaburan di negara ini, katanya.

“Keadaan ini akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan baharu sekali gus memberikan harapan baharu untuk masa depan rakyat yang telah hilang kerja dan diberhentikan oleh majikan sebelum ini,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!