Reset Malaysia & Perangi Rasuah: Penentu masa depan negara

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

RESET Malaysia, hapuskan rasuah. Memang sudah sampai masanya untuk negara bertuah ini perlu menjalani proses penetapan semula atau Sistem Reset seperti yang dicadangkan oleh Datuk Seri Nazir Tun Razak.

Beliau berpendapat, negara sejak pandemik Covid-19 melanda bukan sahaja gagal dari segi ekonomi malah berdepan masalah dengan politik dan sosial.

Menurut Nazir, sistem warisan penjajah tidak lagi sesuai untuk terus dilaksanakan tetapi sebaliknya beliau mencadangkan satu sistem demokrasi yang lebih berpaksikan kepada musyawarah.

Memang kata-kata beliau itu ada kebenarannya, kerana haluan dalam negara ini semakin lama semakin tersasar jauh daripada impian dan cita-cita yang rakyat inginkan.

Kita semua mahu Malaysia tercinta ini menjadi sebuah negara yang bukan sahaja maju serta bebas dari rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Kerana tu melalui ‘Sistem Reset’ yang dibangkitkan oleh Nazir, akhbar ini turut berpandangan bahawa perubahan perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh untuk memerangi rasuah dan ia perlu dijadikan keutamaan.

Selagi tiada sebarang kemahuan politik yang tinggi daripada kerajaan untuk memerangi rasuah, maka jangan kita harap Malaysia akan menjadi sebuah negara maju pada masa depan. Atas sebab itu, Sinar Harian menyokong pelaksanaan enam tuntutan di bawah agenda #MalaysiaTanpaRasuah, sebagai usaha memastikan transformasi perundangan, struktur institusi dan tadbir urus negara dapat dicapai segera.

Enam tuntutan tersebut ialah pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP), mempercepatkan pembentangan dan perlaksanaan Akta Pembiayaan Dana Politik, memastikan kebebasan dan ketelusan institusi antaranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jabatan Peguam Negara.

Tuntutan lain memperkenal dan mengadakan Pilihan Raya Pecat sebagai alternatif segera kepada Akta Anti Lompat Parti. Dan yang terakhir ialah pelaksanaan dan pemerkasaan Undi18 dan melaksanakan reformasi Parlimen.

Artikel Berkaitan:

Jika kesemua enam tuntutan itu dapat dipenuhi, Malaysia akan menuju menjadi sebuah negara maju. InsyaAllah.